BTS Media

Peguam tuntut penjelasan menteri berhubung lawatan Zahid, Shamsul Nasarah ke penjara jumpa Najib

PEGUAM Muhammad Rafique Rashid Ali telah menghantar surat rasmi kepada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menuntut penjelasan berhubung lawatan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi bertemu bekas perdana menteri Najib Razak yang dipenjarakan.

Dalam surat yang dihantar kepada kementerian melalui e-mel itu, Rafique menuntut kementerian serta Jabatan Penjara menjawab tujuh soalan berhubung lawatan tersebut, yang didedahkan Zahid semasa berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 baru-baru ini.

Dalam ucapannya pada Perhimpunan Agung Umno 2023 minggu lalu, Zahid mendedahkan bahawa beliau baru-baru ini melawat Najib di Penjara Kajang, ditemani Ahli Majlis Tertinggi UMNO Shamsul Anuar Nasarah yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Zahid berkata lawatan itu adalah untuk memaklumkan kepada Najib tentang perkembangan pengampunan hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya, lapor NST.

Antara persoalan yang dibangkitkan Rafique dalam surat yang dihantar kepada kementerian itu ialah bagaimana Zahid boleh melawat Najib di penjara, tanpa pemisah kaca dan beliau boleh membawa makanan kegemaran Najib semasa lawatan tersebut.

Rafique turut bertanya kepada kementerian sama ada Kabinet dimaklumkan mengenai lawatan itu atau sama ada Saifuddin tahu bahawa timbalan Menteri Dalam Negeri sendiri hadir sama.

Surat yang dihantar kepada kementerian menuntut penjelasan itu turut disiarkan di Facebook Rafique.

Beliau mengakhiri surat itu dengan menuntut penjelasan berdasarkan prinsip keadilan sejagat dan hak sama rata sebagai warganegara, seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Semalam, Rafique membuat gesaan menuntut Ketua Pengarah Jabatan Penjara serta Kementerian Dalam Negeri menjelaskan rasional Zahid melawat Najib di Penjara Kajang.

-BTS Media

Leave a Comment