GAMBAR ATAS: Wikimedia Commons (licensed)
Oleh Zainal AS Rashid
BEKAS perdana menteri Britain, Boris Johnson pada hari Jumaat berkata beliau akan meletak jawatan sebagai ahli parlimen atas dakwaan dipaksa keluar oleh lawan politiknya.
Ahli politik populis berusia 58 tahun itu telah disiasat oleh sebuah jawatankuasa rentas parti berhubung dakwaan beliau melanggar perintah ‘lockdown’ Covid-19 ketika masih memegang jawatan (dilabelkan sebagai ‘partygate’), lapor Daily Mail.
Awak tahun ini beliau telah menafikan tuduhan itu.
Bagaimana pun, sebelum jawatankuasa itu mendedahkan hasil siasatan kepada umum, beliau berkata mereka telah menghubunginya dan dengan jelas bertekad akan menggunakan hasil dapatan prosiding untuk memaksa beliau meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen.
Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen, yang majoritinya dianggotai ahli parti Konservative (parti Boris) mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap beliau kerana mengelirukan parlimen, termasuk menggantung jawatannya.
Lazimnya, penggantungan lebih daripada 10 hari (bekerja) bermakna pilihan raya kecil perlu diadakan di kawasan parlimen berkenaan.
Menurut AFP, Johnson bertindak lebih awal kerana tidak mahu terus mempertahankan diri bagi mengekal kedudukan sebagai Ahli Parlimen kawasan Uxbridge dan South Ruislip, barat laut London di mana beliau memegang majoriti tipis hanya lebih 7,000 undi.
Beliau mengecam jawatankuasa itu, yang dipengerusikan oleh ahli parlimen veteran pembangkang dari parti buruh Harriet Harman, kerana tidak mengikut prosedur.
Pengumuman itu dibuat hanya beberapa jam selepas Johnson secara kontroversi memberi ganjaran kepada sekutu Brexit terdekatnya — dan pegawai yang terlibat dalam saga “partygate” — dalam senarai penghormatan peletakan jawatan perdana menterinya.
Pada masa yang sama, bekas setiausaha kebudayaannya Nadine Dorries juga mengumumkan akan menarik diri sebagai ahli parlimen berkuat kuasa serta-merta.
Johnson mengetuai parti konservatif hingga memenangi majoriti 80 kerusi pada pilihan raya umum Disember 2019 atas janji untuk “menyelesaikan Brexit”, bagi membolehkannya membawa Britain keluar daripada Kesatuan Eropah.
-BTS Media