BTS Media

Zahid kepada Hadi: Jangan perasan dapat sertai Kerajaan Perpaduan

GAMBAR ATAS: Berita Harian.

 

PRESIDEN UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid hari ini pantas menempelak Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang supaya jangan perasan akan dapat menyertai Kerajaan Perpaduan.

Apa yang dikatakannya itu adalah berikutan kenyataan Abdul Hadi bahawa ada pihak dalam Kerajaan Perpaduan telah menghubunginya untuk berjumpa bagi menawarkan parti itu menyertai Kerajaan Perpaduan, lapor Berita Harian.

Ahmad Zahid seterusnya berkata lebih baik PAS terus duduk bersama Bersatu dan parti sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN).

“Jangan perasan ada sesiapa nak tawarkan pada dia,” katanya kepada media di Bagan Datuk hari ini.

Bagaimana pun, Ahmad Zahid juga dipetik berkata perkembangan itu di luar pengetahuannya.

Semalam Abdul Hadi dilaporkan berkata bahawa tawaran tersebut dibuat kerana PKR yang juga dalam Pakatan harapan menyedari kerapuhan kedudukannya dalam kerajaan, selain tidak banyak mempunyai kerusi Melayu, seperti mana PAS.

Abdul Hadi turut menjelaskan bahawa PAS terbuka kepada mana-mana tawaran, tetapi ia perlu selari dengan prinsip, matlamat dan hala tuju PAS, termasuk akan terus bersama Bersatu.

Sementara itu, dalam perkembangan yang sama Ketua Penerangannya Bersatu Razali Idris berkata tawaran yang buat itu adalah usaha sedaya upaya untuk memisahkan parti itu daripada PN.

Reaksi turut diberikan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi kepada FMT supaya Abdul Hadi mendedahkan siapa yang membuat tawaran tersebut.

-BTS Media

Leave a Comment