BTS Media

Cabaran menanti kerajaan perpaduan Perak

Oleh Fetty Rara

BEBERAPA jam selepas ahli Exco Perak mengangkat sumpah, persoalan besar yang timbul ialah berapa lama kerajaan perpaduan negeri Barisan Nasional dan Pakatan Harapan akan bertahan.

“Jika Menteri Besar dan barisan Exco kekal bersatu, maka tidak ada masalah,” kata pakar undang-undang perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari, yang merupakan ADUN Pakatan.

“Apa yang penting ialah kerajaan negeri mempunyai majoriti, dengan 33 daripada 59 kerusi DUN.”

Beliau berkata ketahanan (survival) kerajaan negeri bergantung sepenuhnya kepada Menteri Besar dan Exco kerajaan negeri.

“(Ia) bukan keputusan orang lain, siapa pun mereka,” kata Abdul Aziz, yang juga naib pengerusi DAP negeri, ketika dihubungi.

Tegasnya, langkah membentuk kerajaan negeri itu dibuat oleh ADUN (Barisan dan Pakatan) sendiri.

“Tiada arahan daripada sesiapa.

“Dari segi undang-undang, kedua-duanya (negeri dan persekutuan) adalah berasingan dan berbeza,” katanya merujuk kepada keadaan yang belum ditentukan di peringkat persekutuan.

Kerajaan negeri dibentuk selepas Saarani Mohamad dari UMNO mengangkat sumpah pada Isnin.

Semalam, 10 anggota Exco kerajaan negeri – terdiri daripada Adun UMNO, DAP, Amanah dan PKR – mengangkat sumpah di hadapan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Mereka ialah Adun Lintang, Mohd Zolkafly Harun, Khairudin Abu Hanipah (Belanja), Salbiah Mohamed (Temengor), Mohammad Nizar Jamaluddin (Sungai Rapat), A. Sivanesan (Sungkai), Loh Sze Yee (Jalong), Teh Kok Lim (Aulong), Woo Kah Leong (Pasir Bedamar), Sandrea Ng (Teja) dan Mohd Azlan Helmi Helmi (Tualang Sekah).

Susulan pilihan raya Sabtu lalu, Pakatan memenangi 24 kerusi, Barisan (sembilan) dan Perikatan Nasional (26).

Peguam kanan Roger Tan berkata beliau tidak menolak kemungkinan kerajaan negeri tumbang.

“Ini mungkin satu kemungkinan jika Pakatan berubah fikiran. Jika Pakatan selesa dengannya, maka ia boleh terus (bekerjasama dengan Barisan) untuk memastikan kestabilan di Perak,” tambahnya.

Bagi Barisan, Tan berkata: “Mengapa harus Barisan berpisah (dengan Pakatan), kerana mereka sudah mendapat jawatan Menteri Besar walaupun mereka parti minoriti?”

Peguam Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir berkata Naib Presiden UMNO Ismail Sabri Yaakob perlu menjelaskan sama ada pendirian Barisan Nasional tidak menyokong mana-mana gabungan untuk membentuk kerajaan persekutuan akan turut terpakai di peringkat negeri.

“Memandangkan isu serius ini, adalah wajar untuk mendapatkan penjelasan daripada Ismail Sabri.

“Sekiranya ia terpakai di kedua-dua peringkat, maka keputusan Majlis Tertinggi UMNO perlu dimaklumkan kepada negeri dan pemimpin negeri menyampaikan perkara yang sama kepada Sultan Perak,” katanya.

Nizam Bashir berkata Pakatan dan Barisan mesti bersedia untuk mentadbir dan memastikan kerajaan negeri tidak tumbang.

Beliau juga berkata kedua-dua gabungan itu perlu bersedia untuk berkompromi dengan tujuan memastikan kelangsungan kerajaan perpaduan yang berterusan.

“Pakatan dan Barisan mesti mencari kaedah untuk menjalin komitmen dan kepercayaan, serta cara komunikasi yang adil antara pemimpin kedua-dua parti,” tambahnya.

-BTS Media

Leave a Comment