BTS Media

PAS akan bincang tawaran sertai kerajaan perpaduan

PAS akan membincangkan tawaran Perdana Menteri Anwar Ibrahim kepada Perikatan Nasional untuk menyertai kerajaan perpaduan dengan parti komponen gabungan itu “dalam waktu terdekat”.

Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan berkata seiring perbincangan itu PAS akan meninjau pandangan dan kesediaan penyokongnya tentang tawaran itu.

PAS meraih kerusi terbanyak pada PRU15, iaitu sebanyak 41 kerusi.

“Mengenai tawaran perdana menteri kepada PN untuk menyertai kerajaan perpaduan pimpinannya, PAS mengucapkan terima kasih,” katanya dalam kenyataan.

Dalam kenyataan yang sama, PAS merakamkan ucapan tahniah kepada Anwar atas pelantikan sebagai perdana menteri, dan yakin beliau akan menjalankan tugas dengan baik.

“PAS yakin beliau akan melaksanakan tanggungjawab dengan baik, adil dan ehsan serta turut mengutamakan konsep federalisma yang wajar kepada seluruh negeri-negeri dan rakyat jelata,” katanya.

Semalam, Presiden PAS, Hadi Awang, berkata Anwar perlu membuktikan jumlah sebenar ahli Dewan Rakyat yang menyokongnya.

Pada sidang media pertama sebagai perdana menteri, Anwar berkata beliau maklum PN mempertikaikan keabsahan kerajaan perpaduan pimpinannya, dan sedia membuktikan kekuatan di Parlimen.

Sidang Dewan Rakyat ditetapkan pada 19 Disember dan undi percaya akan menjadi usul pertama, kata Anwar.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/11/25/pas-akan-bincang-tawaran-sertai-kerajaan-perpaduan/

Leave a Comment