KRISIS UMNO dijangka menjejaskan prestasi kerajaan perpaduan menjelang pilihan raya negeri, ramal penganalisis.
Ia susulan pemecatan beberapa pemimpin UMNO, termasuk bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan bekas ketua UMNO Selangor, Noh Omar, pada Jumaat.
Mereka dipecat kerana melanggar disiplin parti pada PRU15, menurut Setiausaha Agung UMNO Ahmad Maslan.
Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein pula digantung enam tahun, selepas didakwa menjadi “watak utama” membawa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menandatangani akuan berkanun (SD) menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri selepas PRU15.
Tindakan itu dilakukan memandangkan tiada satu gabungan pun berjaya mendapatkan majoriti membentuk kerajaan.
Azeem Fazwan Ahmad Farouk dari Universiti Sains Malaysia (USM), berkata kerajaan perpaduan diterajui Anwar Ibrahim akhirnya akan menanggung kesan melibatkan sebarang pertelingkahan dalaman UMNO.
“Krisis melanda menjadi peluang kepada orang lain. Banyak perkara mungkin menjejaskan kerajaan sekiranya Anwar tidak mempedulikan apa yang berlaku dalam UMNO.
“Lebih-lebih lagi, jika beliau berterusan bergantung kepada Zahid (Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi) demi mendapatkan sokongan bagi kerajaan perpaduan. Kini situasi kerap berubah dan berkembang pantas,” katanya kepada FMT.
James Chin dari University of Tasmania, berkata “sokongan sebenar” kepada kerajaan boleh diukur pada pilihan raya negeri di enam negeri yang mesti diadakan tahun ini.
“Bulan madu sudah berakhir,” katanya kepada FMT. “Jika PH atau Anwar tidak bertindak cepat, akan berlaku masalah pada pilihan raya negeri yang menjadi pengukur sebenar sokongan.”
Beliau menjangkakan Pulau Pinang dan Selangor kekal dikuasai PH, manakala Kelantan dan Terengganu diperintah PAS. Dua lagi negeri – Negeri Sembilan dan Kedah – boleh berpihak kepada mana-mana parti, selain menyifatkan negeri itu sebagai “swing states”.
Chin berkata, dakwaan dibuat Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berhubung kerajaan stabil tidak benar, sambil menyatakan “semuanya bergantung pada pilihan raya negeri”.
Ooi Kee Beng dari Penang Institute, berkata Anwar perlu lebih inovatif demi “keselesaan mentadbir” pada tahun mendatang.
“Beliau sepatutnya tidak terlalu memikirkan pilihan raya negeri memandangkan beliau perlu menunjukkan kepimpinan bertauladan sebagai negarawan, berbanding menjadi pemimpin gabungan,” katanya.
“Perlu diakui ini perkara sukar, namun gerakan reformasi bukan semudah disangka. Menggunakan kuasa demi kebaikan merupakan seni seorang negarawan.”
Azeem juga berkata, nasihat bekas timbalan perdana menteri, Musa Hitam, kepada Rafizi supaya bekerja keras adalah tepat sambil menyatakan menteri baharu itu perlu segera menangani isu nasional tanpa mengambil masa yang lama.
Sebelum ini, Rafizi pada majlis perbincangan panel di Parlimen, berkata negara memerlukan dua ke tiga tahun lagi untuk kembali pulih, bagaimanapun Musa memberitahunya, kesabaran pengundi ada hadnya dengan memberikan tempoh tiga ke enam bulan bagi kerajaan melakukan reformasi.
Azeem berkata, Rafizi juga perlu berwaspada mengenai maklumat dari birokrat yang berkemungkinan tidak tepat.
“Saya bersetuju dengan Musa, anda tidak memerlukan tempoh panjang bagi penyesuaian. Terus mula bekerja keras. Tidak perlu beri alasan dan menyerang pentadbiran terdahulu.
“Tidak wujud pun tempoh berbulan madu apabila kerja anda adalah mentadbir. Anda ada lima tahun, anda bergerak dalam tempoh itu. Kami semua tahu dasar mengambil masa untuk direalisasikan,” katanya.