Oleh Fetty Rara
SULTAN Perak Sultan Nazrin Shah berkenan membenarkan wartawan dan pengamal media di negeri itu menyampaikan khutbah Jumaat di beberapa masjid di Perak esok (Jumaat (26 Mei), sempena Hari Wartawan Negara (HAWANA) pada Mei 29.
Presiden Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIPk) Mohd Annuar Zaini, dalam kenyataan pada Khamis (25 Mei), berkata ia adalah sebagai pengiktirafan terhadap peranan wartawan, lapor Bernama.
Beliau berkata, baginda bertitah supaya khutbah Jumaat di Perak pada 26 Mei ini disampaikan bertemakan Kewartawanan: Melaksanakan Tugas Berlandaskan Nilai-nilai Islam.
“Baginda berkenan memberi penghormatan kepada pengamal media dengan membenarkan mereka menyampaikan khutbah Jumaat di masjid-masjid di Perak esok,” katanya.
Mohd Annuar berkata Sultan berkenan kepada tiga nama yang dicadangkan Jabatan Penyiaran Perak dan Persatuan Pengamal Media Perak untuk diberikan pentauliahan sementara bagi menyampaikan khutbah itu.
Individu yang dinamakan ialah editor Berita Harian (Rencana, Agama dan Kesusasteraan) Mohd Nazmi Yaacob, yang akan menyampaikan khutbah di Masjid Negeri, Masjid Sultan Idris Shah II; Wartawan Sinar Harian Saifullah Ahmad di Masjid Sultan Azlan Shah; dan penerbit program Radio Televisyen Malaysia, Mohd Fahmi Mohd Nor, di Masjid Muhibbuddin Shah.
Sambutan HAWANA 2023 bertemakan ‘Media Bebas, Tonggak Demokrasi’ akan berlangsung di Ipoh, Perak, dari 27-29 Mei dengan bagi menekankan kebebasan media kepada wartawan dalam menjalankan tugas.
Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Negara sempena penerbitan edisi pertama Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 yang merupakan akhbar pertama di Malaysia.
-BTS Media