Oleh Yusoff A. Shariff
MENTERI Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohammad akan menghadap Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk membubarkan dewan undangan negeri (DUN) esok, justeru membuka jalan untuk pilihan raya awal.
Seperti kebanyakan negeri lain, penggal DUN Perak hanya tamat tahun depan, tetapi Barisan Nasional yang diketuai UMNO menggesa semua kerajaan negeri di bawah gabungan itu supaya membubarkannya bagi menyelaraskan pilihan raya negeri dan nasional.
Saarani berkata beliau akan menghadap Sultan Perak pada tengah hari Rabu (12 Okt), lapor The New Straits Times.
ADUN Kota Tampan itu berkata DUN Perak hanya boleh dibubarkan sebaik sahaja Sultan Nazrin memberikan perkenan.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen ke-14 semalam bagi memberi laluan kepada pilihan raya awal, dan mengetepikan desakan daripada pembangkang dan dalam kalangan ahli UMNO sendiri supaya tidak mengadakan pilihan raya umum ke-15 sehingga tahun depan kerana negara bakal menghadapi musim tengkujuh.
Pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran.
Saarani menjadi menteri besar Perak ke-14 pada 9 Disember 2020 berikutan peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu daripada Bersatu yang telah kehilangan undi percaya lima hari sebelumnya dalam dewan undangan negeri.
ADUN Chenderiang itu memenangi undi hanya 10 daripada 59 ADUN, dengan 48 menentang usul itu, dan seorang berkecuali.
-BTS Media