Oleh Zainal AS Rashid
DEWAN Undangan Negeri Pahang dan Perlis telah dibubarkan apabila Raja dan Sultan masing-masing memberi perkenan, tetapi status negeri Perak masih menjadi tanda tanya.
Setakat ini belum ada keputusan dibuat oleh Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Sebarang keputusan mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diumumkan oleh Istana, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.
Saarani berkata demikian selepas mengiringi Sultan ke majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam Perak di sebuah hotel di Meru Raya, Ipoh.
Terdahulu, beliau memberitahu media bahawa beliau telah dipanggil untuk berjumpa dengan Sultan, tetapi tidak tahu untuk apa.
Saarani pertama kali diperkenankan menghadap Sultan Nazrin pada Rabu, di mana beliau memohon perkenan baginda untuk membubarkan DUN.
Sehingga pukul 8.00 malam semalam, masih tiada sebarang kenyataan daripada pihak Istana.
-BTS Media