Oleh Zainal AS Rashid
RASUAH menafikan perkhidmatan yang diperlukan oleh rakyat, membawa kepada ketidakseimbangan pembahagian kekayaan dan ketirisan khazanah negara, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.
Menurut baginda rasuah juga menyebabkan ketidaklestarian pembangunan, berlakunya pencemaran alam sekitar, menghalang pertumbuhan ekonomi, menghilangkan minat pelabur asing, menambahkan kos pentadbiran dan urus niaga serta mendorong berlakunya ketidakstabilan politik.
Pada majlis pelancaran buku “Korupsi dan Kemunafikan dalam Politik Melayu; Perlunya Disegerakan Transformasi Moral Etika” di Shah Alam hari ini (Khamis 22 Sept), Sultan Nazrin bertitah bahawa banyak negara dianugerahkan pelbagai sumber kekayaan, tetapi disebabkan rasuah, ada yang terperangkap dalam kemunduran dan kemiskinan.
Menyifatkan rasuah sebagai penyakit dalam masyarakat, baginda mengingatkan jika dibiarkan terus merebak, satu demi satu organisasi akan lumpuh.
Baginda memetik hasil penilaian oleh Transparency International yang mendapati Malaysia jatuh daripada kedudukan ke-57, dengan memperoleh markah 52 pada 2020, kepada 62 dengan markah 48 pada 2021, justeru menyertai kumpulan dua pertiga negara yang memperoleh markah di bawah 50.
Oleh demikian, baginda menegaskan bahawa perkara ini tidak boleh dianggap remeh, berpuas hati, dan mencari pelbagai justifikasi bagi menafikan kewujudannya, yang digambarkan sebagai “gajah” yang nyata berada di depan mata.
Sehubungan itu, baginda mencadangkan penilaian ikhlas diwajibkan berdasarkan fakta dan bukti untuk menunjukkan betapa kita benar-benar serius dalam usaha membanteras rasuah.
Sultan Nazrin menegaskan bahawa masyarakat wajib berani mengakui apa yang nyata, bahawa amalan rasuah berleluasa hingga mencecah tahap amat kritikal dan bahaya, seperti mana dilaporkan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.
Baginda merujuk kepada bilangan aduan serta rungutan diterima oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selain surat layang, laporan berita, dan catatan media sosial yang boleh dijadikan petunjuk kepada keadaan sekarang.
“Malah jalan raya berlopak, longkang tersumbat, bangunan runtuh, bumbung bocor, pencemaran alam, penerokaan haram, rumput dan taman yang tidak terurus, masing-masing mempunyai bahasa tersendiri, menyampaikan mesej akan standard tadbir urus yang sedang berlaku,” titah baginda.
Menurut Sultan Nazrin, lebih ramai manusia disesatkan dengan kuasa dan kekayaan tanpa menyedari atau berasa malu akan kemungkinan terjebak oleh perbuatan syirik kerana sanggup menjadi hamba wang, kuasa, pangkat dan jawatan sehingga sanggup mendewakan manusia lain.
Baginda menegaskan bahawa sifat sebenar seseorang akan terserlah apabila dia diberikan kedudukan atau kuasa.
Sultan Nazrin bertitah bahawa dengan kemudaratan yang melanda negara akibat rasuah, maka perlu lebih ramai “murabbi” tampil untuk mendidik dan memupuk kesedaran rohani dan moral.
Buku tulisan Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan yang dilancarkan itu, menurut baginda, menyampaikan mesej tentang betapa pentingnya usaha memerangi rasuah dan mengamanahkan tanggungjawab kepada pihak yang bersih daripada rasuah.
-BTS Media