BTS Media

Rajendran angkat sumpah sebagai Datuk Bandar keempat Majlis Bandaraya Pulau Pinang

Oleh Fetty Rara

DATUK A. Rajendran telah mengangkat sumpah jawatan dan kini rasmi dilantik sebagai datuk bandar keempat Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Setelah berkhidmat selama 37 tahun dengan pihak berkuasa tempatan, Rajendran berkata beliau tidak pernah terlintas di fikiran akan menjadi Datuk Bandar suatu hari nanti, lapor The Star.

Beliau berkata, isu utama di pulau itu yang amat diketahui ramai dan sedang diteliti adalah kebersihan dan kesesakan lalu lintas.

“Saya ingin mengesahkan bahawa perancangan dan langkah penambahbaikan sedang dilaksanakan dengan lebih baik.

“Proses mendidik orang ramai dan penguatkuasaan akan diteruskan.

“Bagi mengurangkan sisa pepejal yang dilupuskan, inisiatif kitar semula melalui Projek Sisa kepada Tenaga (WTE) akan bermula pada 2024, dan dijangka mencapai 60 peratus di bahagian pulau.

Untuk trafik, Rajendran berkata rancangan menaik taraf jalan raya dan membina infrastruktur penting akan diteruskan manakala tumpuan juga akan diberikan kepada penggunaan pengangkutan awam dan pengangkutan alternatif.

“Inisiatif untuk menggalakkan lebih ramai orang berjalan (jarak dekat) akan dilaksanakan,” katanya.

Rajendran berharap dapat merangkumi pelbagai aspek dan menangani semua isu, termasuk yang melibatkan perubahan iklim, orang kurang upaya dan Pulau Pinang 2030.

Beliau mengangkat sumpah di hadapan Ketua Menteri Chow Kon Yeow, setiausaha kerajaan negeri Mohd Sayuthi Bakar, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo dan wakil negeri lain serta Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang di Dewan Bandaraya pada Selasa (9 Mei).

Chow berkata Rajendran ialah Datuk Bandar MBPP keempat. Sehubungan itu, beliau menggesa semua ahli majlis bandar supaya bekerjasama dengan Rajendran untuk melaksanakan rancangan majlis.

Beliau menggantikan Yew Tung Seang yang bersara bulan lalu setelah berkhidmat sejak Januari 2018.

Rajendran, 60, sebelum ini merupakan setiausaha Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Beliau menyertai pihak berkuasa tempatan pada 1986, dan dilantik sebagai setiausaha majlis pada Januari tahun lepas (2022).

Beliau merupakan datuk bandar kedua berketurunan India yang dilantik dalam tempoh lebih 60 tahun selepas DS Ramanathan, yang dipilih sebagai datuk bandar pada tahun 1958.

Antara 1957 dan 1966, George Town berada di bawah tadbir urus Bandaraya George Town.

Sejak 2015, seramai empat Datuk Bandar MBPP telah dilantik.

-BTS Media

Leave a Comment