GAMBAR ATAS: Facebook Fahmi Fadzil.
TUJUAN pagar besi didirikan di sekitar Padang Merbok, Kuala Lumpur ialah bagi tujuan penyelenggaraan kawasan itu, kata Datuk Bandar Mahadi Che Ngah.
Beliau berkata penggunaan padang itu tanpa kawalan dan tidak teratur menyebabkan kawasan hijau rosak, sekali gus memerlukan kos tinggi untuk diperbaiki dan dinaikkan taraf.
Mahadi memberitahu Bernama pada Sabtu (6 Ogos) bahawa dengan cara ini padang tersebut dapat diuruskan dengan baik.
Semalam, media melaporkan dua Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan meminta penjelasan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung pagar besi setinggi kira-kira lima kaki (1.5 meter) yang didirikan di sekitar padang itu.
Mereka menyifatkannya sebagai tindakan yang disalah anggap oleh penduduk Kuala Lumpur, termasuk kononnya bagi menghalang orang ramai menggunakan kemudahan awam untuk beriadah, selain menghalang pihak tertentu daripada berkumpul sebelum berarak ke bangunan parlimen semasa diadakan protes.
Menurut Mahadi, orang ramai masih boleh menggunakan Padang Merbok dengan kebenaran berjadual. Beliau berkata pendekatan sama juga telah dilaksanakan di beberapa kawasan lain bagi tujuan itu.
Tambahnya, kerja-kerja menaik taraf Padang Merbok masih berjalan akibat masalah perparitan, dan kawasan itu belum dibuka kepada orang ramai.
-BTS Media