PROJEK Jejak Pahlawan di Bulatan Dato Onn di Kuala Lumpur bukan membazir, kata Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mahadi Che Ngah.
Beliau memberitahu media pada Ahad (25 Sept) bahawa setelah kemudahan di Bulatan Dato Onn siap, kerja seterusnya tergendala kerana perintah kawalan pergerakan (PKP), masalah hujan lebat dan banjir.
Portal berita The Vibes hari ini melaporkan tentang kebimbangan berhubung projek berjuta ringgit itu yang dilancarkan pada 1 Mac oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim.
Projek tersebut merupakan sebahagian daripada projek Jejak Warisan yang bertujuan untuk menyerlahkan aset sejarah dan budaya bandar raya Kuala Lumpur.
Semasa pelancaran, Shahidan berkata Jejak Warisan yang akan menjadi tarikan baharu di Kuala Lumpur bakal merangsang pelancongan di kawasan itu, selain dijangka meningkatkan perniagaan penduduk tempatan.
Pada 2018, dilaporkan bahawa projek tersebut akan menelan belanja kerajaan persekutuan sebanyak RM26 juta.
Bagaimanapun, kebimbangan disuarakan tentang reka bentuk projek dan sama ada ia akan menarik pelancong.
Bahagian promenade di situ dikatakan terdedah kepada banjir kerana batu dan konkrit digunakan untuk lantai asas, manakala jambatan besi pula didakwa tidak memenuhi matlamat untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Namun demikian, Mahadi melahirkan keyakinan bahawa Jejak Warisan Kuala Lumpur akan mampu menarik lebih ramai pengunjung tempatan dan pelancongan luar ke bandar raya.
-BTS Media