BTS Media

Banjir landa beberapa kawasan di sekitar pusat bandar raya Kuala Lumpur

KEJADIAN air bertakung dan banjir kilat berlaku di beberapa kawasan di ibu negara pada Rabu.

Kuala Lumpur Command & Control Centre (KLCCC), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan melalui Twitter bahawa kejadian itu berpunca daripada hujan lebat sejak awal petang ini.

Pusat info trafik itu turut berkongsi keadaan air bertakung dan banjir kilat di beberapa kawasan sekitar Pusat Bandar raya, termasuk di Jalan Pudu dan Jalan Maarof.

Ia juga membabitkan Jalan Damansara, Jalan Parlimen, Lebuhraya Sultan Iskandar dan Jalan Kuching.

KLCCC DBKL meminta semua pengguna jalan raya agar berhati-hati memandu berikutan keadaan jalan licin.

Sementara itu, Polis Kuala Lumpur menerusi laman Facebook memaklumkan, setakat pukul 4.39 petang, lima lokasi dinaiki air, iaitu Lebuhraya Sultan Iskandar, Jalan Travers, Lebuhraya Taman Connaught, Jalan Parlimen dan Jalan Ampang.

“Laluan kedua-dua arah di Jalan Parlimen telah ditutup, manakala laluan Lebuhraya Sultan Iskandar dari arah Istana Negara ke Wisma Tani turut ditutup dan dilencongkan ke arah susur Carcosa Seri Negara,” menurut kenyataan itu pada Rabu.

Selain itu, satu lorong di Jalan Travers, Lebuhraya Taman Connaught dan Jalan Ampang berhadapan bangunan Santa Grand turut ditutup.

“Keadaan masih terkawal dan kenderaan masih boleh melalui di Jalan Sri Permaisuri dan Jalan Maharajalela,” kata kenyataan itu.

-BTS Media

Leave a Comment