BTS Media

Projek PSI: “Jangan tabur pasir ke dalam periuk nasi kami”, kata nelayan Pulau Pinang

Oleh Zainal AS Rashid

KUMPULAN nelayan Pulau Pinang yang sebelum ini berjaya dalam rayuan membantah projek penambakan laut Pulau Pinang Selatan (PSI) berikrar untuk membuat satu lagi rayuan berhubung isu tersebut.

Zakaria Ismail yang mengetuai 185 nelayan berkenaan berkata berita semalam (Rabu 26 April) bahawa Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah meluluskan projek itu telah dijangka dan tidak mengejutkan.

Bagaimanapun, beliau berkata perkembangan terbaharu ini menaikkan lagi semangat mereka untuk menentang pihak yang “menabur pasir ke dalam periuk nasi kami”, lapor FMT.

Pada 2021, kumpulan itu telah membuat rayuan terhadap “projek tiga pulau” di kawasan mereka menangkap ikan. Mereka berjaya membatalkan kelulusan penilaian kesan alam sekitar (EIA) yang diberikan oleh JAS pada masa itu.

Zakaria berkata, kali ini juga mereka akan membuat rayuan seperti mana sebelumnya.

Semalam, ketua menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri telah mendapat kelulusan bagi projek itu berdasarkan EIA baharu bersama 71 syarat.

Pada 2021, Lembaga Rayuan Alam Sekitar sebulat suara memutuskan untuk memihak kepada kumpulan nelayan berkenaan atas alasan bahawa projek penambakan itu akan menjejaskan mata pencarian mereka.

Kerajaan negeri gagal dalam cubaan membatalkan keputusan di Mahkamah Tinggi kerana telah melebihi tempoh tangguh tiga bulan untuk memfailkan rayuan.

Permohonan EIA baharu kemudiannya dikemukakan oleh kerajaan negeri pada 29 April tahun lepas.

Anggota Penang Forum Khoo Salma Nasution berkata kerajaan persekutuan dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mungkin tidak tahu bagaimana projek PSI dijalankan.

Beliau berkata mereka mungkin menanggap bahawa projek itu akan dapat menjana pembiayaan bagi projek pengangkutan awam, seperti cadangan pembinaan LRT Bayan Lepas, yang dijangka menelan belanja kira-kira RM10 bilion.

Khoo berkata berdasarkan anggaran pakar dari Penang Forum, projek penambakan itu akan dijalankan oleh sebuah syarikat swasta dengan kos RM6 bilion dan kemudian dijual pada harga RM8 bilion, dengan hanya 30 peratus daripada keuntungan RM2 bilion (RM600 juta) yang diperoleh diserahkan kepada kerajaan negeri.

“Ini tidak cukup untuk membiayai walaupun 10 peratus projek LRT,” katanya.

Beliau berkata, memandangkan angka dan struktur pemilikan tiga pulau itu telah berubah berkali-kali sejak 2015, ia tidak memberikan keyakinan.

Menurut FMT lagi, aktivis alam sekitar Anthony Tan pula berkata kelulusan semalam adalah amat mengecewakan. Beliau berkata satu referendum perlu diadakan untuk mengetahui sejauh mana rakyat Pulau Pinang menyokong projek itu.

Projek penambakan PSI berharga RM10 bilion itu adalah inisiatif kerajaan negeri untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang bernilai RM46 bilion. Kesemua tiga pulau, dengan keluasan tanah 1,620 hektar, akan dibangunkan perairan Permatang Damar Laut.

-BTS Media

Leave a Comment