BTS Media

Tiada unsur jenayah kes pengsan, langgar tol di Bentong

KUALA LUMPUR: Polis menolak sebarang unsur kecuaian atau jenayah sehingga menyebabkan sebuah kenderaan dinaiki empat beranak melanggar pintu tol, Plaza Tol Bentong, semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata siasatan susulan mendapati kejadian adalah disebabkan semua mangsa kekurangan oksigen dalam badan.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian ini tiada kaitan dengan kelalaian semasa memandu ataupun adanya unsur jenayah, sebaliknya adalah akibat kesan kekurangan oksigen dalam badan.

“Perkara ini juga disahkan oleh doktor yang melakukan pemeriksaan ke atas semua mangsa dan mereka mengesahkan mangsa kekurangan oksigen,” katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Zaiham berkata, berdasarkan maklum balas yang diterima daripada anak mangsa melalui laman Facebook, punca ibu dan bapa serta dua adiknya pengsan adalah disebabkan keracunan oksigen penghawa dingin kenderaan.

Dalam kejadian pukul 2.40 petang itu, empat beranak terbabit dalam yang menaiki sebuah kereta Proton Exora dalam perjalanan dari Tok Bali, Kelantan menuju ke Balakong, Selangor.

Akibat pengsan, pemandu kereta berkenaan gagal mengawal kenderaan sebelum melanggar pintu tol.

Kejadian itu kemudian disedari Inspektor Ridhwan Kassim dan Koperal Mohamad Azuwan Aziz, sebelum bergegas memberi bantuan awal kepada mangsa.

Dalam penyelamatan itu, anggota polis dibantu oleh anggota peronda lebuh raya dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), pihak Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dan orang awam yang berada di kawasan berhampiran.

Pegawai bertugas juga telah mengeluarkan mangsa dari kereta sebelum dikejarkan ke Hospital Bentong untuk tindakan susulan.

Baca lagi: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2023/04/1093627/tiada-unsur-jenayah-kes-pengsan-langgar-tol-di-bentong

Leave a Comment