Oleh Zainal AS Rashid
DUA petisyen dilancarkan berhubung Pengampunan Diraja untuk membebas dan melepaskan bekas Perdana Menteri, Najib Razak.
Petisyen yang dilancarkan di laman web change.org itu adalah “Petisyen kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong: Najib Tidak Wajar Diampunkan“ digerakkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) dan “Bebaskan Najib Razak Melalui Pengampunan Diraja“ digerakkan individu bernama Ariff Lias.
Tinjauan BTS Media mendapati setakat pukul 12.22 tengah hari Ahad (9 April) “Petisyen kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong: Najib Tidak Wajar Diampunkan” mendapat jumlah tandatangan terbanyak iaitu 145,558.
Ia hanya memerlukan sebanyak 4,427 untuk mencecah tanda aras 150,000 tandatangan.
Bagi platform change.org, angka 150,000 akan menunjukkan tahap sokongan dan penglibatan yang ketara.
Apabila petisyen mencapai 150,000 tandatangan, ia berpotensi mencetuskan momentum pantas, justeru mendapat lebih perhatian daripada media, organisasi dan pihak berkenaan.
Ia juga menunjukkan suara rakyat yang jelas dan desakan untuk tindakan terhadap isu tertentu.
Sementara itu, petisyen “Bebaskan Najib Razak Melalui Pengampunan Diraja” hanya mencatatkan 13,219 dengan sasaran sebanyak 10,000 tandatangan pada masa yang sama.
Antara isu yang mengerakkan orang ramai menurunkan tandatangan membantah pengampunan kepada Najib ialah faktor kesan rasuah yang memberi kesengsaraan dan perasaan malu bagi rakyat.
Sementara itu, bagi petisyen menyokong, isu yang diketengahkan adalah berhubung dakwaan kononnya berlaku ketidakadilan perbicaraan serta kepincangan sistem kehakiman dalam kes SRC dihadapi Najib.
-BTS Media