BTS Media

Najib fail petisyen kepada agensi PBB minta dibebaskan

NAJIB Razak hari ini memfailkan petisyen kepada Kumpulan Kerja Penahanan Arbitari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWGAD) bagi meminta dibebaskan atau dibicarakan semula.

Ia susulan hasil pendengaran rayuan di Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri itu, sekali gus didakwa mempunyai kecacatan serius dan melanggar undang-undang antarabangsa.

Peguam mewakili Najib, Muhammad Shafee Abdullah, berkata anak guamnya memohon panel UNWGAD membabitkan lima pakar keadilan antarabangsa memutuskan bahawa penolakan rayuannya pada 23 Ogos lalu adalah tidak adil, melanggar hak asasi manusia dan Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah Persekutuan juga didakwa gagal memberi peluang munasabah dan masa yang mencukupi kepada pasukan pembelaan Najib untuk berhujah mengenai kesnya.

“Mahkamah itu tidak membenarkan pembelaan untuk berhujah dalam rayuan terhadap hukuman penjara 12 tahun. Pada dasarnya, Najib dihantar ke penjara tanpa diberi peluang membela diri di Mahkamah Persekutuan.

“Beberapa hari terakhir untuk rayuan pada Ogos lalu membawa kepada ‘keadilan tergesa-gesa’ apabila peguam baharu dilantik (Mohd Zaid Ibrahim) tidak diberikan masa yang jelas untuk membaca berpuluh ribu muka dokumen rayuan atau untuk melihat 94 alasan rayuan difailkan peguam sebelum ini.

“UNWGAD yang akan meneliti rayuan itu membabitkan lima hakim hak asasi manusia yang terkenal. Mereka tidak akan dipanggil untuk memutuskan sama ada Najib bersalah atau tidak tetapi untuk menentukan sama ada perbicaraannya adil.

“Jika tidak adil, Najib boleh meminta kerajaan membebaskannya atau memberi perbicaraan semula.

“Walaupun keputusan ini tidak menjejaskan secara langsung, ia amat memberi impak kerana Malaysia mempunyai ahli perundangan yang terkenal dan kini menjadi ahli kumpulan kerja terbabit,” katanya pada sidang media pejabatnya di sini, hari ini.

Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Muhammad Shafee berkata, beberapa penyokong kuat UNWGAD termasuk Perdana Menteri,  Anwar Ibrahim, ada memberitahu kepada Universiti Cambridge bahawa pendapat kumpulan itu adalah penting dalam usaha mendapatkan kebebasan.

“Najib menyuarakan harapan dan keyakinan bahawa kerajaan sedia ada akan mengikut keputusan UNWGAD,” katanya.

Ditanya tempoh maklum balas UNWGAD, Muhammad Shafee menjangka respons diterima dalam beberapa bulan ini.

“Saya pasti apabila UNWGAD terima petisyen itu, mereka akan terus proses. Kita hantar semua dokumen berkaitan.

“Petisyen itu kemudian akan dihantar kepada Kerajaan Malaysia menerusi Wisma Putra. Bukan tugas kita untuk hantar petisyen itu kepada Kerajaan Malaysia,” katanya.

Baca lagi: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/01/1048009/najib-fail-petisyen-kepada-agensi-pbb-minta-dibebaskan

Leave a Comment