GAMBAR ATAS: dok ist melalui OkeNews.
Oleh Yusoff A. Shariff
SEEKOR paus cachalot (Physeter macrocephalus) sepanjang 18.2 meter yang mengalami luka di badannya ditemukan terdampar Pantai Lepang berhampiran sebuah resort di Bali, Indonesia pada Rabu (5 April).
Ketua Badan Mitigasi Bencana Kabupaten Klungkung Putu Widiada berkata, Bali adalah laluan penghijrahan paus dan kecederaan itu berkemungkinan berpunca daripada terperangkap di tengah-tengah terumbu di perairan cetek.
“Paus yang masih hidup ketika itu, kemudian ditolak semula ke laut oleh penduduk dan pasukan penyelamat,” kata Widiada kepada media tempatan.
Bagaimanapun, haiwan tersebut didapati mati kemudiannya di Pantai Yeh Malet Karangasem, Bali, lapor CNN Indonesia.
“Bangkai paus itu akan ditanam,” kata Ketua Balai Pengelolaan Sumber Daya Pesisir dan Laut (BPSPL) Denpasar, Permana Yuliarso, lapor OkeNews.
Pada minggu sebelumnya, beberapa bangkai paus ditemui di Pantai Batu Lumbung Bali, di pantai Provinsi Jawa Timur dan Pulau Timor, manakala enam ikan lumba-lumba mati ditemui di Wilayah Nusa Tenggara Timur.
Punca kejadian paus terkandas itu masih dalam siasatan. Ketua Pusat Pengurusan Sumber Laut dan Pantai Denpasar, Yudi Permana berkata ia mungkin juga disebabkan oleh cuaca melampau dan aktiviti seismik.
-BTS Media