BTS Media

Isteri Aaron Aziz kesal, sedih suami dihina

DIYANA Halik, isteri Aaron Aziz, pelakon asal Singapura yang kini berpangkalan di Malaysia, baru-baru ini meluahkan rasa sedih dan kesal apabila melihat suaminya dihina secara terbuka.

Diyana menerusi satu hantaran di Instagram berkata beliau terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pengarah sensasi, Syamsul Yusof, di media sosial dan tampil mempertahankan suaminya.

“Selepas melihat apa yang berlaku di Internet, hati saya sakit bila suami saya dihina dan kena ‘body shaming’ (dianggap gemuk dan sudah berusia).

“Selama ini, saya tidak pernah gunakan media sosial untuk luahkan perasaan dan sentiasa kekal tenang.

“Tetapi kali ini saya tidak mampu menerimanya dan terpanggil untuk melindungi suami sendiri. Mungkin sebab saya nampak usaha dan komitmennya.

“Ini bukan tentang hilang rezeki kerana saya percaya kepada qadak dan qadar. Ini adalah satu tindakan tidak sopan,” tulisnya.

Dalam pada itu, Diyana berkata sebagai pengurus kepada suaminya, sudah banyak air matanya yang tumpah untuk projek ini.

“Saya banyak menangis untuk projek The Original Gangster. Tidak pernah lagi terjadi kepada saya sebagai seorang pengurus, saya harus lalui kesakitan seperti ini.

“Ini adalah satu pengajaran. Kalau nak ‘all out’ harus berpada-pada dan lihat untuk siapa kita lakukan. Berbudi bahasa sangat penting.

“Terima kasih Allah kerana melindungi suami saya daripada projek ini. Allah tahu apa yang terbaik dan sebaik-baik perancang. Alhamdulillah.

“Semoga Allah swt yang Maha Pengasih memudahkan urusan Syamsul Yusof dan memberi petunjuk kepadanya. Ya Allah Ar Rahman Ar Rahim, ampuni aku dan berikan aku dan suamiku kekuatan,” tulisnya.

Syamsul baru-baru ini telah mengadakan satu sidang akhbar khas bagi menjelaskan punca menggugurkan Aaron daripada membintangi filem The Original Gangster.

Menurutnya, faktor usia, berat badan dan masalah kesihatan menjadi sebab Aaron digugurkan daripada filem berkenaan.

https://rb.gy/0z3f

Leave a Comment