Oleh Yusoff A. Shariff
Polis sedang menyiasat sepasang suami isteri yang menyiarkan video di media sosial mengadu tentang sebuah resort di Taiping dan pemiliknya.
Ia susulan laporan polis, kata Ketua Polis Daerah Taiping Osman Mamat ketika dihubungi pada Selasa (10 Mei), lapor The Star.
Dalam video sepanjang 5 minit dan 53 saat yang dimuat naik ke Facebook, pasangan itu membuat beberapa dakwaan mengenai perkhidmatan dan keadaan bilik di resort berkenaan.
Mereka juga mendakwa terpaksa menunggu lama untuk makan malam dihidangkan, selain mendakwa bahawa pemilik premis, yang merupakan seorang Datuk di kawasan itu, enggan memulangkan balik wang mereka dan mengeluarkan kata-kata hina terhadap mereka.
Osman berkata tiada laporan dibuat oleh pasangan itu, dan pihaknya telah membuka siasatan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
-BTS Media