BTS Media

ADUN Tanjung Bidara angkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13

AYER KEROH: ADUN Tanjung Bidara Ab Rauf Yusoh hari ini mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13.

Beliau menerima watikah pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan, taat setia dan rahsia di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam di Dewan Seri Utama Pejabat Gabenor pada pukul 3.00 petang.

Ab Rauf, 61, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, menggantikan ADUN Lendu Sulaiman Md Ali.

Sulaiman dikatakan membuat keputusan untuk berundur selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi semalam.

Beliau, bagaimanapun, menafikan bahawa beliau dipaksa untuk meletakkan jawatan.

Menurut Sulaiman lagi, beliau berundur sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12 berikutan hasratnya supaya jawatan itu diserahkan kepada seseorang yang lebih berkebolehan.

Zahid semalam mengesahkan UMNO telah mencalonkan Ab Rauf sebagai ketua menteri seterusnya.

Isu pertukaran ketua menteri timbul beberapa bulan selepas kemenangan Barisan Nasional (BN) semasa pilihan raya negeri mengejut pada 20 Nov, 2021.

Spekulasi mengenai perkara itu timbul lagi semasa Dewan Undangan Negeri pada hujung tahun lepas selepas tular satu rakaman suara yang mendakwa terdapat gerakan menggantikan Sulaiman.

-BTS Media

Leave a Comment