KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, mengesahkan parti itu sudah menghantar nama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Ab Rauf Yusoh, sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, UMNO juga sudah mengutuskan warkah kepada Yang Dipertua Negeri Melaka, Mohd Ali Rustam, untuk menerima peletakan jawatan Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri.
“Saya sudah mengutus warkah kepada TYT Melaka untuk menerima peletakan jawatan Ketua Menteri (Sulaiman) dan dengan ini parti mencadangkan melalui warkah itu Datuk Seri Rauf sebagai Ketua Menteri yang baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Majlis Pembangunan Usahawan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Kebangsaan (MPUPK), di Bangunan Parlimen, hari ini.
Ketika ditanya sama ada Sulaiman ada memaklumkan sebab peletakan jawatan, Ahmad Zahid berkata, ia disebabkan “masalah kesihatan.”
Mengulas sama ada pelantikan barisan EXCO baharu kelak, akan membabitkan wakil parti komponen Pakatan Harapan (PH), Ahmad Zahid berkata, pihaknya mengambil pendekatan yang sama dengan Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional.
“Saya sudah membincangkan mengenai perkara ini dan oleh itu kita mengambil semangat Kerajaan Perpaduan yang berjalan dengan baik di peringkat nasional.
“Saya yakin semangat itu akan dihilirkan ke Melaka supaya optik yang baik dapat diperlihatkan kepada bukan sahaja rakyat Melaka tetapi kepada rakyat Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.