Oleh Zainal AS Rashid
DALAM usaha cuba meredakan kemarahan, setiausaha agung UMNO Ahmad Maslan mendakwa pelantikan presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri adalah berdasarkan hierarki dan kedudukan dalam parti tersebut.
Dia juga mendakwa bahawa pelantikan Zahid ke jawatan kedua tertinggi negara itu bertujuan untuk menstabilkan kerajaan perpaduan yang dibentuk selepas tiada parti atau gabungan memperoleh majoriti mudah 112 kerusi di Dewan Rakyat.
“Tidak pernah ada Kabinet yang tidak dikritik. Berapa kerap kita melihat sesuatu itu 100 peratus sempurna? Pasti ada perselisihan faham di sana sini.
“Kalau kita bagi (jawatan) kepada selain presiden (Zahid), kestabilan itu agak menjadi persoalan. Pertama, kekuatan UMNO dan kedua, kerajaan perpaduan itu sendiri.
“Sebab itu kita mahu kestabilan, dan hierarki parti adalah perkara yang betul untuk diikuti sekarang,” katanya kepada media dekat Rompin malam tadi.
Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) adalah antara 27 anggota Kabinet yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara semalam.
Zahid juga dilantik sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.
“Kita sedar kita hanya ada 30 kerusi dan enam wakil (sebagai menteri), walaupun kita menuntut lebih. Kita tunggu senarai timbalan menteri,” katanya lagi.
-BTS Media