BTS Media

Jangan sentuh wang dengan tangan bersarung, elok guna e-dompet

Oleh Yusoff A. Shariff

JANGAN gunakan tangan bersarung untuk mengendalikan makanan dan kemudian menyentuh wang kerana ini boleh meningkatkan risiko penularan kuman.

Seorang pakar dari Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mastura Mohd Sopian berkata, memang baik bagi pengendali makanan memakai sarung tangan, tetapi mereka mesti berhati-hati apa lagi yang disentuh.

“Wang mempunyai potensi tinggi untuk membawa banyak patogen yang boleh menyebabkan masalah kesihatan,” katanya.

Beliau berkata pemakaian sarung tangan oleh penjual makanan tidak diwajibkan dan harus sentiasa dilakukan bersama amalan kebersihan tangan.

“Kuku yang bersih juga penting dalam menghidangkan atau mengendalikan makanan,” tambahnya, lapor The Star.

Penasihat Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar bersetuju bahawa penjual makanan tidak seharusnya menggunakan tangan bersarung yang sama untuk mengendalikan wang.

“Tujuan memakai sarung tangan adalah untuk mengelakkan pencemaran silang.

“Pengendali makanan tidak boleh menyentuh apa-apa selain makanan apabila memakai sarung tangan,” katanya.

Beliau menasihatkan pengendali makanan supaya menanggalkan sarung tangan apabila perlu melakukan tugas lain seperti menerima wang tunai daripada pelanggan.

Kunjungan oleh The Star ke beberapa bazar Ramadan mendapati peniaga menerima wang dengan tangan bersarung.

Ahli Majlis Bandaraya Seberang Prai P. David Marshel bersetuju bahawa adalah tidak bersih menggunakan tangan bersarung yang mengendalikan makanan untuk menyentuh wang.

Beliau menasihatkan peniaga di bazar Ramadan supaya menggunakan kaedah transaksi tanpa tunai.

“Terdapat banyak platform e-dompet yang boleh mereka gunakan dan ia mudah,” katanya.

Penjual makanan di semua kawasan, bukan sahaja bazar Ramadan, harus menerima bayaran tanpa tunai, tambahnya.

Marshel menyeru penganjur bazar dan pentadbir pasar awam supaya memberi lebih perhatian terhadap perkara ini dan menggalakkan peniaga menerima pakai sepenuhnya transaksi dalam talian.

-BTS Media

Leave a Comment