GAMBAR ATAS: The Star.
BEKAS ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Tajuddin Abdul Rahman menolak tawaran untuk menyertai BERSATU dan PAS, kerana masih “menaruh harapan” UMNO akan menarik balik penggantungan keahliannya enam tahun sejak Oktober lalu.
Beliau berkata, dalam rayuan yang dikemukakan beliau telah memohon maaf di atas kelantangan mengkritik Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi dan tidak mahu meneruskan persengketaan kerana masih setia dengan UMNO.
Beliau mendakwa, kerana sayangkan UMNO beliau sanggup menolak tawaran daripada beberapa parti setelah digugurkan pencalonan untuk kawasan Parlimen Pasir Salak, lapor FMT.
Kerusi tersebut dimenangi oleh calon Perikatan Nasional, Jamaluddin Yahya.
“Orang lain yang tidak bercakap (kritik), (hanya) “yes sir yes sir” mereka tidak membantu pun presiden tetapi menjatuhkannya apabila kalah PRU, akhirnya siapa yang rugi?,” kata Tajuddin yang pernah menganggotai MKT UMNO selama 15 tahun dan 18 tahun sebagai ketua UMNO Pasir Salak.
Tajuddin berkata beliau tidak melihat dirinya bersama parti selain UMNO walaupun melalui pernah pelbagai liku dan kecaman beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk digantung keahlian, dipecat MKT, dikritik hebat dalam isu kemalangan dua tren transit aliran ringan (LRT) pada 2021 dan pengguguran pelantikan sebagai duta besar Malaysia ke Indonesia.
“Apa faedah gantung saya?,” sambil menegaskan beliau telah memberi banyak sumbangan kepada UMNO.
“Saya tak keluar dari UMNO walaupun mempunyai banyak pilihan, nak masuk PAS ke atau Bersatu. Tawaran pun mereka bagi kepada saya.”
Tajuddin pernah menggesa Zahid meletakkan jawatan.
Pada pemilihan UMNO baru-baru ini, anaknya, Faizal, gagal menyambung legasi Tajuddin dalam parti itu apabila tewas di tangan Khairul Azwan Harun bagi jawatan ketua UMNO Pasir Salak.
-BTS Media