BTS Media

Kerajaan pertimbang mansuh hukuman penjara seumur hidup

KERAJAAN sedang menimbang menghapuskan hukuman penjara seumur hidup, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh.

Ramkarpal berkata, hukuman penjara seumur hidup dijangka diganti dengan hukuman penjara bagi tempoh tertentu.

“Ini akan dibincang dan dibahaskan di Parlimen pada minggu mendatang atau seterusnya,” katanya dalam wawancara BFM The Breakfast Grille.

“Jadi, ia bukan lagi kes di mana individu itu meninggal dunia di penjara. Akan ada tempoh tertentu bagi hukuman pemenjaraan maksimum.

“(Hukuman) seumur hidup akan dimansuhkan.”

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas potensi kesesakan penjara apabila hukuman mati mandatori bagi 11 kesalahan jenayah dimansuhkan.

Ramkarpal berkata, rang undang-undang memansuhkan hukuman mati mandatori akan dibentangkan bagi bacaan pertama, pada sidang Dewan Rakyat bulan ini.

Ia dijangka diluluskan pada April dan diwartakan pada Mei.

Moratorium bagi pelaksanaan hukuman mati sudah berjalan sejak 2018.

Pada Jun lalu, kerajaan mengumumkan persetujuan memansuhkan hukuman mati mandatori dan memberikan kuasa budi bicara kepada hakim dalam menjatuhi hukuman.

Ramkarpal berkata, pemansuhan hukuman mati mandatori mungkin menyaksikan sejumlah banduan yang sudah menjalani sebahagian hukuman akan dibebaskan, sedikit sebanyak mengurangkan kesesakan di penjara.

“Saya rasa sejumlah daripada mereka akan dibebaskan selepas mahkamah menggantikan hukuman mati dengan hukuman penjara,” katanya.

“Hanya sejumlah kecil daripada mereka menjalani pemenjaraan bagi tempoh lama. Kebiasaannya, ia berfungsi dengan mahkamah mengurangkan jumlah atau tempoh tertentu daripada hukuman penjara sebenar mereka.

“Jadi, saya bayangkan sejumlah daripada mereka layak atau berhak dibebaskan sekiranya hukuman mati diganti dengan pemenjaraan dalam tempoh terdekat.”

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2023/03/21/kerajaan-timbang-mansuh-hukuman-penjara-seumur-hidup/

Leave a Comment