Oleh Yusoff A. Shariff
BEKAS ahli majlis tertinggi UMNO, Lokman Noor Adam gagal mengetepikan hukuman penjara sebulan kerana menakutkan saksi dalam perbicaraan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) melibatkan Najib Razak.
Ini berikutan keputusan sebulat suara oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan oleh Hakim Kamaludin Md Said, yang menolak rayuan Lokman di Putrajaya semalam. Hakim lain dalam panel ialah Hakim Che Mohd Ruzima Ghazali, yang membacakan keputusan itu, dan Hakim Nordin Hassan.
Mereka mendapati perayu sememangnya berniat untuk membuat laporan polis dan kenyataan media.
“Kami mendapati tiada kesilapan dengan keputusan Mahkamah Tinggi. Jelas ada niat untuk mengganggu pentadbiran keadilan,” kata Hakim Che Mohd Ruzima.
Lokman merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 15 Julai 2021, yang mensabitkan dan menjatuhkan hukuman atas kesalahan menghina mahkamah kerana menakutkan bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin, yang merupakan saksi utama dalam perbicaraan kes RM2.28 bilion 1MDB.
Mahkamah Rayuan juga menolak rayuan balas oleh pihak pendakwaan yang cuba menambah hukuman penjara terhadap Lokman daripada sebulan kepada sekurang-kurangnya tiga bulan.
“Hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi tidak seharusnya mudah ‘disentuh’ di peringkat rayuan melainkan ada bukti bahawa hukuman itu keterlaluan.
“Tiada alasan munasabah untuk kami membetulkan hukuman itu. Kami sebulat suara mendapati hukuman oleh hakim Mahkamah Tinggi adalah wajar dan munasabah.
“Kami menolak kedua-dua rayuan (oleh pihak pendakwaan dan perayu) atas hukuman itu,” kata Hakim Che Mohd Ruzima.
Peguam Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Lokman, memohon mahkamah menangguhkan perintah komital dan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar berkata pihak pendakwaan tidak membantah penangguhan.
Mahkamah kemudian membenarkan penangguhan pelaksanaan perintah komital dan hukuman sementara menunggu rayuan.
Pada 15 Julai 2021, Hakim Collin Lawrence Sequerah, menjatuhkan hukuman penjara sebulan terhadap Lokman kerana menghina mahkamah.
Pihak pendakwaan berjaya mendapatkan kebenaran untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman pada 2019.
Dalam permohonan itu, peguam negara ketika itu Tommy Thomas memohon perintah supaya Lokman dihukum penjara atau didenda atas perbuatannya menghina mahkamah yang dilakukan dua kali pada 25 Sept 2019.
Thomas berkata Lokman mengeluarkan kata-kata dalam temu bual video yang merupakan ancaman nyata atau tersirat terhadap Amhari kerana telah memberikan keterangan terhadap tertuduh dalam perbicaraan jenayah terhadap bekas perdana menteri itu di Mahkamah Tinggi.
Beliau berkata pada hari yang sama, Lokman membuat laporan polis terhadap Amhari berhubung keterangan yang diberikannya pada perbicaraan jenayah Najib yang sedang berjalan.
Matlamat atau tujuan tindakan responden adalah untuk mengganggu dan menakut-nakutkan Amhari, saksi lain dan mana-mana saksi berpotensi yang mungkin tampil memberikan keterangan terhadap tertuduh dalam perbicaraan, katanya.
-BTS Media