PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memfailkan saman terhadap Lokman Noor Adam kerana didakwa menyiarkan kata-kata fitnah melalui media sosial.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO memfailkan saman fitnah tersebut atas kapasiti peribadi, melalui peguamnya pada 8 Sept lepas, menamakan Lokman, 49, selaku defendan tunggal.
Dalam penyataan tuntutan, Ismail Sabri, 62, mendakwa Lokman pada 22 Ogos telah membuat kenyataan fitnah terhadapnya dalam video bertajuk “Bila Presiden UMNO Panggil Tak Datang! Tapi PM Ada Masa Jumpa Mahathir – Lokman Adam”.
Beliau berkata kenyataan berniat jahat, fitnah dan tidak benar berkenaan plaintif dimuat naik menerusi ke akaun media sosial milik defendan iaitu YouTube “Lokman Adam”, Facebook “Lokman Noor Adam Official”, Instagram “lokmannooradam” dan TikTok “datoklokmanadam”.
Kata-kata fitnah itu antara lain membawa maksud Ismail telah berjumpa dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan merancang atau berniat untuk merancang dengan bekas perdana menteri itu serta parti-parti politik lain yang bertentangan dengan UMNO untuk kekal sebagai perdana menteri dengan membelakangkan dan mengkhianati parti itu.
Ismail Sabri berkata beliau tidak pernah berjumpa Dr Mahathir dan parti-parti lain dengan membelakangkan atau mengkhianati UMNO untuk terus kekal sebagai perdana menteri.
Dakwa plaintif, beliau tidak pernah mengatur langkah-langkah secara tidak berprinsip untuk menghalang pembubaran Parlimen dan seterusnya mengadakan Pilihan Raya Umum untuk kekal sebagai perdana menteri.
Plaintif juga mendakwa beliau tidak pernah menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri untuk campur tangan prosiding undang-undang terhadap Najib Razak bagi memastikan bekas perdana menteri itu disabitkan dan seterusnya dipenjarakan.
Menurutnya kesan daripada kata-kata fitnah itu, reputasinya sebagai seorang ahli UMNO, Naib Presiden UMNO dan perdana menteri terjejas, memberikan kesan buruk kepada kerjaya politiknya dan siaran fitnah oleh defendan berniat jahat.
Ahli Parlimen Bera itu berkata surat tuntutan bertarikh 25 Ogos lepas dikeluarkan supaya defendan memadam video daripada akaun media sosialnya dan memohon maaf kepada plaintif, namun sehingga kini defendan gagal berbuat demikian.
Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teladan dan tambahan, faedah, kos serta relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Ismail Sabri turut memfailkan permohonan secara ex parte (sebelah pihak) untuk mendapatkan perintah injunksi bagi memaksa defendan memadamkan video pada akaun YouTube, Facebook, Instagram serta TikTok miliknya.
Beliau juga memohon injunksi bagi menghalang defendan atau wakilnya daripada membuat kenyataan sama menerusi media sosial yang diuruskan oleh defendan dan permohonan itu akan didengar hari ini di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Roz Mawar Rozain.
-BTS Media