Oleh Yusoff A. Shariff
PERIKATAN Nasional (PN) telah memohon tarikh baharu pertemuan rasmi dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Setiausaha agung PN Hamzah Zainudin berkata pertemuan beberapa pemimpin PN dengan Ismail sebelum ini adalah secara tidak rasmi dan lebih kepada sembang santai.
“Kita sudah tulis surat (sebelum ini), beliau (Ismail) minta tangguh (jumpa secara rasmi). Minggu lepas, saya ada jumpa dengan beliau, tapi bukan secara rasmi lagi, sebab wakil PN sepatutnya kita hantar empat orang. Jadi beliau kata, kita sembang-sembang dulu.
“Saya sudah minta tarikh rasmi yang baharu supaya wakil PN boleh jumpa dan bentangkan apa yang kami mohon,” katanya di Putrajaya pada Khamis (18 Ogos).
Beliau berkata semasa pertemuan santai itu wakil PN tidak membangkitkan tentang jawatan timbalan perdana menteri, kerana perbincangan lebih kepada politik semasa.
Hamzah, bagaimana pun, tidak menolak akan membincangkan tentang pelantikan jawatan itu nanti.
Sebelum ini, Bendahari PN, Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau dan Hamzah mengadakan pertemuan makan tengah hari bersama Ismail.
Wakil PN yang sebelum ini dinamakan untuk pertemuan rasmi dengan perdana menteri terdiri daripada Hamzah, Samsuri, Ahli Majlis Tertinggi PN, Takiyuddin Hassan dan Ketua Penerangan PN, Azmin Ali.
-BTS Media