PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak bimbang dengan laporan bahawa Perikatan Nasional (PN) mungkin menarik balik sokongannya kepada kerajaan.
Mengulas laporan itu, beliau berkata dalam negara demokrasi sesiapa pun bebas berkata demikian, namun apa pun yang penting semua perlu bersedia tanpa mengira keadaan.
Beliau berkata pilihan raya pasti diadakan, hanya tarikhnya belum ditetapkan, lapor The Star.
Sebelum ini, PN berkata akan menghantar delegasi bertemu Ismail Sabri bagi membincangkan pelaksanaan terma perjanjian kerjasama politik yang ditandatangani dengannya.
Susulan itu, pada 3 Ogos lalu, setiausaha agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata beliau dijangka bertemu Ismail Sabri Yaakob pada 4 Ogos.
Pertemuan, bagaimanapun dibatalkan pada saat-saat akhir, dan kemudian PN berkata mereka mungkin menarik diri daripada kerajaan sebagai protes atas tindakan perdana menteri enggan menghormati perjanjian antara beliau dan Bersatu.
-BTS Media