MAHKAMAH Persekutuan telah mengesahkan sabitan dan hukuman yang dihadapi bekas perdana menteri Najib Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd.
Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, dalam alasan penghakiman , berkata panel lima hakim telah meneliti merit kes itu “dengan terperinci”.
Beliau berkata mahkamah tertinggi mendapati sabitan itu patut bagi kesemua tujuh pertuduhan dan hukuman itu tidak keterlaluan.
Beliau mengarahkan supaya Najib dihantar ke penjara dengan segera.
Najib dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi atas tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa membabitkan RM42 juta daripada dana SRC.
“Oleh itu rayuan ini ditolak sebulat suara dan sabitan serta hukuman disahkan.
“Saya mengumumkan waran komital,” kata Ketua Hakim.
Peguam utama Najib, Hisyam Teh Poh Teik bangun untuk meminta penangguhan pelaksanaan sementara menunggu permohonan semakan terhadap keputusan itu.
Perkara ini dinafikan oleh mahkamah.
“Tiada peruntukan undang-undang untuk itu. Mahkamah ditangguhkan,” jawab Ketua Hakim sebelum meninggalkan bilik mahkamah pada Selasa (23 Ogos).
-BTS Media