BTS Media

BERSATU mohon batal perintah larangan perjalanan terhadap Muhyiddin

GAMBAR ATAS: Malay Mail.

 

BERSATU memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi membatalkan tindakan mengenakan larangan perjalanan terhadap presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut dokumen mahkamah, BERSATU turut membuat permohonan semakan berhubung perintah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) membekukan akaun bank parti berkenaan.

Parti itu menamakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki; Pengarah Kanan Bahagian siasatan, Datuk Seri Hishamuddin Hashim; Pengarah bahagian pencegahan pengubahan wang haram (AML), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Sri Khairul Dzaimee Daud, selaku respoden pertama hingga keempat.

Menerusi permohonan itu, BERSATU memohon membatalkan perintah pembekuan akaun bank BERSATU di CIMB Islamic Bank Bhd dan AmBank.

Pada 1 Februari lalu, Azam Baki dilaporkan mengesahkan bahawa akaun BERSATU dibekukan sebagai sebahagian daripada siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

Azam Baki dilaporkan berkata akaun terbabit dibekukan untuk membantu siasatan ke atas wang yang disyaki daripada hasil haram (illegal proceeds).

Siasatan dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.

Disember lalu, SPRM mengesahkan sudah menerima butiran berhubung pecahan dana pakej rangsangan ekonomi yang dibelanjakan kerajaan pada 2020 dan 2021 berhubung pengurusan COVID-19 daripada Kementerian Kewangan.

Fokus siasatan adalah terarah kepada RM92.5 bilion membabitkan dana kerajaan daripada nilai dakwaan penyelewengan wang perbelanjaan negara yang dianggar hampir RM600 bilion.

Leave a Comment