Oleh Yusoff A. Shariff
PULAU Pinang akan melantik “ADUN angkat” untuk mewakili empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikosongkan.
Empat kawasan terbabit ialah Seberang Jaya, Bertam, Sungai Acheh di tanah besar dan Teluk Bahang di bahagian pulau.
Pertama kali dalam sejarah, Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang semalam mengundi untuk memecat empat ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang sebelum ini telah menarik balik sokongan mereka kepada pentadbiran negeri, lapor NST.
Mereka terdiri daripada Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam), Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh) dan Zolkifly Md Lazim (Teluk Bahang).
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata berikutan penyingkiran mereka, pihak kerajaan negeri telah mengambil tindakan dengan melantik “ADUN angkat” dalam kalangan ADUN sedia ada untuk menjaga kawasan di empat kawasan itu.
Beliau berkata demikian di sidang Dewan Undangan Negeri ini sebagai respons kepada soalan Lim Eng Guan (DAP-Air Putih).
Lim sebelum ini bertanya tentang status semua ADUN tersebut susulan pemindaan terhadap undang-undang lompat parti.
-BTS Media