BTS Media

Najib, Arul kanda bebas tuduhan pinda laporan audit 1MDB

MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur pagi iniĀ  (Jumaat 3 Mac) membebaskan Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy daripada tuduhan meminda Laporan Pengauditan Akhir 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan tidak berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua mereka.

Mahkamah membebaskan Arul Kanda daripada tuduhan bersubahat dengan Najib selepas memberikannya sijil indemniti (pengecualian liabiliti undang-undang) kerana keterangan yang diberikan beliau berikan selaku saksi pendakwaan pada Ogos tahun lalu adalah benar dan menyeluruh.

Najib, 70, didakwa pada 12 Disember 2018, menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap Laporan Pengauditan Akhir 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan berkenaan bagi melindunginya daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta SPRM yang jika didapati bersalah membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

-BTS Media

Leave a Comment