Pihak pendakwaan menutup kesnya berhubung perbicaraan laporan audit 1MDB terhadap Najib Razak dan Arul Kanda Kandasamy, hari ini.
Pendakwa Ad-hoc, Gopal Sri Ram, memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan, bahawa pihak pendakwaan sudah memanggil semua saksi, termasuk Arul Kanda untuk memberi keterangan.
Keseluruhannya, seramai 16 saksi, termasuk bekas ketua audit negara, Ambrin Buang dan Madinah Mohamad, selesai memberi keterangan sejak perbicaraan bermula, pada 18 Nov 2019.
“Kami menawarkan 18 saksi kepada pembelaan,” kata Sri Ram.
Antara saksi ditawarkan adalah bekas pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Nur Jazlan Mohamed dan Hasan Arifin, termasuk bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Azral Ibrahim Halmi, bekas timbalan pendakwa raya, Dzulkifli Ahmad, dan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nur Aida Arifin.
Najib dituduh menyalahgunakan kuasa bagi mendapatkan kekebalan daripada tindakan perundangan dan mengarahkan pindaan terhadap laporan audit akhir 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC. Arul Kanda dituduh bersubahat bersama Najib.
Bekas perdana menteri itu sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang, bulan lalu, susulan sabitannya terhadap kes rasuah SRC International, hadir di mahkamah, hari ini.
Zaini mengarahkan pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan bertulis sebelum 7 Okt dan hujahan balasan, pada 14 Okt.
“Kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan perlu hadir di mahkamah pada 28 Okt,” kata hakim.
Peguam Arul Kanda, N Sivananthan, memberitahu bahawa mereka memohon kepada mahkamah – menerusi hujahan bertulis – sama ada indemniti (pengecualian liabiliti undang-undang) diberikan kepadanya (Arul Kanda).
Zaini berkata, keputusan sama ada mahkamah akan memberi pembebasan penuh atau melepaskan Arul Kanda kerana bersubahat akan diputuskan kemudian.
Terdahulu, mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memanggil Arul Kanda untuk memberi keterangan bagi pihak mereka. Beliau memberitahu mahkamah bahawa Najib mengarahkannya menghadiri mesyuarat, pada 24 Feb 2016, untuk membincangkan pindaan terhadap laporan berkenaan.
Arul Kanda berkata, Najib juga menyatakan kebimbangan berhubung kandungan laporan itu digunakan dari perspektif politik.
Ketika perbicaraan, mahkamah diberitahu bahawa Ambrin dan pegawai jabatan audit negara menjalankan audit terhadap 1MDB, bermula 9 Mac 2015 hingga 4 Mac 2016.
Mereka sepatutnya membentangkan penemuan kepada PAC, pada 24 Feb 2016, namun mesyuarat dengan ahli PAC tidak berlaku.
Sebaliknya, Ambrin dan beberapa pegawai dimaklumkan untuk menghadiri mesyuarat di pejabat ketua setiausaha negara ketika itu, Ali Hamsa, pada hari sama.
Yang turut hadir pada waktu itu, Arul Kanda, ketua setiausaha sulit kepada Najib ketika itu, Shukry Mohd Salleh, pegawai kanan Perbendaharaan dan pegawai dari Jabatan Peguam Negara.
Selepas mesyuarat, empat item dikeluarkan daripada laporan audit. Ia membabitkan dua penyata kewangan 2014, penerbitan nota jangka sederhana Islamik, pelanggan sekunder bon Islamik, kehadiran Low Taek Jho (Jho Low) dalam mesyuarat lembaga pengarah 1MDB.