BTS Media

Keputusan sama ada Najib, Arul Kanda bebas atau bela diri kes laporan audit IMDB esok

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini akan memutuskan esok sama ada Najib Razak perlu menjawab tuduhan beliau guna jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan untuk mengarahkan maklumat penting dikeluarkan daripada laporan akhir audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, juga akan memutuskan sama ada keterangan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy terhadap Najib adalah benar dan menyeluruh bagi membolehkan mahkamah memberikannya sijil indemniti.

Keputusan itu dijadual dibacakan pada pukul 9 pagi.

Arul Kanda memberikan keterangan terhadap Najib selama dua hari pada 25 Ogos lalu selepas dibenarkan mahkamah mengikut Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membenarkan tertuduh dalam sesuatu kes menjadi saksi bagi pihak pendakwaan.

Sebelum ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Gopal Sri Ram namun bekas Hakim Mahkamah Persekutuan berusia 79 tahun itu meninggal dunia pada 29 Januari lalu.

Keputusan ke atas Najib dan Arul Kanda itu sepatutnya dibuat Mohamed Zaini pada 30 Januari lalu, namun dilapangkan dan ditetapkan semula pada tarikh berkenaan.

Pasukan pendakwaan kekal dengan barisan sedia ada termasuk Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, manakala Najib dan Arul Kanda masing-masing diwakili peguam, Shafee Abdullah serta N Sivananthan.

Pihak pendakwaan menutup kes pada 7 September lalu, selepas memanggil 16 saksi bagi memberi keterangan dalam perbicaraan yang berlangsung selama 43 hari bermula 18 Februari 2019.

Pada 24 Jun 2022, mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan untuk memanggil Arul Kanda sebagai saksi bagi memberi keterangan terhadap Najib mengikut Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pendakwaan kemudian menawarkan 18 saksi kepada pembelaan, antaranya bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira Kira Wang Negara (PAC), Nur Jazlan Mohamed; bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Antara saksi utama dipanggil memberi keterangan ialah bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Allahyarham Dr Ali Hamsa; bekas Ketua Audit Negara, Ambrin Buang serta Madinah Mohamad.

Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada tindakan sivil atau jenayah berkaitan peranannya dalam perjalanan operasi syarikat 1MDB.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa mengarahkan Laporan Pengauditan 1MDB yang dimuktamadkan Ketua Audit Negara dipinda sebelum ia dimuktamadkan semula dan dibentang kepada PAC, yang mana Najib secara langsung mempunyai kepentingan.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib meminda laporan berkenaan bagi melindungi bekas Perdana Menteri itu untuk mengelak dikenakan tindakan tatatertib atau jenayah berkaitan 1MDB.

Baca lagi: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/03/1071219/esok-keputusan-najib-arul-kanda-bebas-atau-bela-diri-kes-laporan

Leave a Comment