BTS Media

Berjalan sekurangnya 11 minit sehari cukup untuk elak kematian pramatang – Penyelidik

IKHTIAR berjalan pantas selama 11 minit setiap hari boleh menghalang satu daripada 10 kematian pramatang di seluruh dunia, menurut kajian terbesar seumpamanya.

Ini bersamaan dengan 75 minit aktiviti intensiti sederhana seminggu, separuh daripada 150 minit mingguan yang disyorkan oleh perkhidmatan kesihatan British (NHS).

Berjalan pantas, menari, menunggang basikal, bermain tenis atau mendaki boleh mengurangkan risiko kematian awal, penyakit kardiovaskular, dan sesetengah jenis kanser, termasuk kanser kepala dan leher serta leukemia mieloid, pakar di Universiti Cambridge.

Menurut analisis data terbesar yang pernah dikumpulkan dalam British Journal of Sports Medicine, secara global satu daripada 10 kematian awal boleh dielakkan jika seseorang itu mencapai hanya separuh daripada sasaran mingguan yang disyorkan, iaitu 150 minit aktiviti fizikal intensiti sederhana, lapor akhbar The Guardian.

Aktiviti fizikal intensiti sederhana ditakrifkan sebagai aktiviti yang meningkatkan kadar denyutan jantung dan bernafas lebih cepat, tetapi tidak terlalu pantas hingga mengah tidak boleh bercakap.

“Jika anda mendapati aktiviti fizikal intensiti sederhana selama 150 minit seminggu agak berat, penemuan baharu ini dianggap berita baik,” kata Dr Søren Brage, dari unit epidemiologi Majlis Penyelidikan Perubatan (MRC) Cambridge.

“Melakukan beberapa aktiviti fizikal adalah lebih baik daripada tidak melakukan apa-apa langsung. Ini juga merupakan permulaan yang baik – jika anda sanggup melakukannya selama 75 minit seminggu, anda boleh cuba meningkatkannya secara beransur-ansur kepada jumlah penuh yang disyorkan.”

Penyelidik melihat kepada 196 artikel semakan sebaya (peer-reviewed), meliputi lebih 30 juta peserta daripada 94 grup kajian besar. Mereka kemudian meneliti perkaitan antara tahap aktiviti fizikal dan risiko penyakit jantung, kanser dan kematian awal.

Kajian mendapati bahawa mengumpul 75 minit seminggu aktiviti intensiti sederhana mampu mengurangkan risiko kematian awal sebanyak 23 peratus. Ia juga didapati mencukupi bagi mengurangkan risiko penyakit jantung sebanyak 17 peratus dan kanser 7 peratus.

“Kami tahu bahawa aktiviti fizikal, seperti berjalan atau berbasikal, adalah baik untuk anda, terutamanya jika anda merasakan ia meningkatkan kadar denyutan jantung,” kata Prof James Woodcock, juga dari Universiti Cambridge.

“Tetapi, apa yang kami dapati ialah terdapat manfaat besar untuk kesihatan jantung dan mengurangkan risiko kanser walaupun anda hanya boleh melakukannya minimum 10 minit setiap hari.”

Para penyelidik mengunjurkan jika semua orang dalam kajian tersebut melakukan sekurang-kurangnya 150 minit seminggu aktiviti sederhana, kira-kira satu daripada enam (16 peratus) kematian pramatang boleh dielakkan.

Tetapi, walaupun semua orang berjaya melakukan sekurang-kurangnya 75 minit seminggu, kira-kira satu daripada 10 (10 peratus) kematian pramatang boleh dielakkan.

Dr Leandro Garcia, dari Queen’s University Belfast, menekankan bahawa aktiviti sederhana tidak perlu melibatkan apa yang kebanyakan orang anggap sebagai senaman, seperti bersukan atau berlari. “Sebagai contoh, cuba berjalan kaki atau berbasikal ke tempat kerja atau tempat belajar anda daripada menggunakan kereta, atau melakukan permainan aktif bersama anak atau cucu anda,” katanya.

“Melakukan aktiviti yang anda gemari dan mudah dimasukkan ke dalam rutin mingguan ialah cara terbaik untuk menjadi lebih aktif.”

-BTS Media

Leave a Comment