SEKELUARGA bakal jemaah umrah meluahkan rasa marah dan kecewa setelah agensi yang bertanggungjawab dikatakan gagal menunaikan janji untuk membawa mereka ke Makkah.
Seorang daripada mereka, Ahmad Saifulrizan Mohd Puad memberitahu Sinar Harian di ibu pejabat agensi pada Selasa berkata, dia sepatutnya menaiki penerbangan ke Arab Saudi bersama 10 ahli keluarga lain pada hari ini.
“Sehingga sekarang, kami tidak mengetahui dengan jelas alasan-alasan penangguhan penerbangan,” katanya.
Dia berkata, banyak perbelanjaan untuk persiapan telah pun dibuat selain membayar penuh kos umrah sekitar RM9,000 dan RM500 untuk surcaj cuti persekolahan bagi setiap ahli keluarga.
“Kita dah habis banyak (untuk menunaikan umrah) tetapi apabila jadi seperti ini, kami sangat kecewa,” katanya.
Menurutnya, lebih menyedihkan dia bersama keluarga telah menyewa rumah inap di Sepang bagi memudahkan perjalanan ke Tanah Suci.
“Kami belum lagi daftar masuk homestay kerana dari Kuantan terus ke sini untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak pengurusan,” katanya.
Dia yang menetap di Pahang berkata, pengurusan hanya memaklumkan bahawa bayaran penginapan hotel di Arab Saudi telah meningkat dari kos sebenar dan memberikan jawapan yang tidak meyakinkan.
-BTS Media