KUALA LUMPUR: Beberapa syarikat umrah tempatan yang ‘memborong’ tiket penerbangan ke Tanah Suci didakwa turut menjualnya kepada agensi umrah di Indonesia pada harga sehingga RM6,000 untuk mengaut keuntungan besar.
Kegiatan mereka yang didakwa semakin berleluasa sejak kebelakangan ini disifatkan sebagai satu penindasan kepada pengendali pakej umrah tempatan sehingga ada yang tidak mampu membawa jemaah mengikut jadual ditetapkan disebabkan kos mengerjakan umrah yang menjadi tinggi.
Semakan BH mendapati ada agensi umrah Indonesia yang menghantar jemaah mereka dengan membeli tiket sama ada daripada ‘ulat tiket’ dalam kalangan pengendali pelancongan tempatan, atau membeli terus daripada syarikat penerbangan.
Pemerhatian BH menerusi media sosial juga mendapati banyak agensi umrah di Indonesia mempromosikan pakej umrah menggunakan penerbangan transit melalui syarikat penerbangan Malaysia.
Seorang wakil pengusaha umrah tempatan yang enggan identitinya didedahkan berkata, kegiatan menjual tiket kepada jemaah umrah Indonesia kini semakin berleluasa.
“Malah, jika dilihat kepada situasi semasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), jemaah dari seberang (Indonesia) yang membanjirinya dan mengisi hampir 90 peratus penerbangan tempatan ke Tanah Suci.
“Agensi umrah dari Indonesia sanggup beli pada harga yang tinggi. Daripada maklumat yang saya terima, mereka sanggup bayar RM5,000 hingga RM6,000 untuk satu tiket. Kebanyakannya transit dari Pekan Baru, Indonesia.
“Mereka mengambil kesempatan disebabkan permintaan yang sangat tinggi dari Indonesia,” katanya.
BH dalam laporan muka depannya semalam mendedahkan kegiatan membolot tiket penerbangan umrah yang dipercayai didalangi beberapa agensi umrah.
Mereka kemudian menjual semula tiket itu dengan harga sekali ganda sehingga mencecah RM5,000.
Beliau berkata, situasi itu disifatkan sebagai tidak adil dan menafikan hak agensi umrah dan jemaah tempatan yang ingin ke Tanah Suci dengan harga munasabah menggunakan penerbangan tempatan.
“Ini dilema yang kami hadapi sekarang. Kalau harga naik sahaja tak mengapa lagi, tapi yang amat mengecewakan kerana dijual pula kepada jemaah Indonesia.
“Tidak dinafikan ketika fasa awal negara dilanda COVID-19, syarikat penerbangan tempatan tawarkan untuk beli tiket untuk musim umrah tahun ini, tetapi pada masa itu agensi kecil kita mampu disebabkan situasi perniagaan yang tidak begitu baik,” katanya.
Beliau menegaskan situasi ini tidak sepatutnya berlaku kerana impaknya cukup besar, bukan sahaja harga melambung tetapi agensi umrah terpaksa mencari jalan termasuk menyewa kapal terbang dan menggunakan penerbangan transit yang biasanya kurang digemari jemaah.
Beliau turut mendakwa ada syarikat umrah Indonesia yang menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan syarikat penerbangan tempatan untuk mendapatkan kuota penerbangan mereka.
Menafikan hak rakyat
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan memantau operator penerbangan tempatan yang dilihat menggalakkan monopoli, malah menidakkan hak rakyat tempatan untuk mengerjakan umrah dengan kadar harga yang munasabah.
Pengusaha umrah, Ahmad Abdullah yang menetap di Arab Saudi turut mengakui tiada pilihan selain terpaksa membayar harga tiket yang mahal.
“Saya dah berjanji dengan jemaah pakej sekitar RM5,000 hingga RM6,000, jadi terpaksalah tanggung rugi dan beli tiket yang dijual RM3,900 untuk seorang jemaah. Jika tangguhkan lagi penerbangan, tentunya sukar untuk jemaah dan jika tambah kos akan membebankan pula,” katanya.
Beliau turut berharap pihak berwajib segera mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan monopoli tiket penerbangan ini.
“Sepatutnya syarikat penerbangan mengehadkan penjualan tiket untuk setiap agensi umrah, misalnya 30 hingga 40 orang bagi satu penerbangan. Dengan cara ini, tidaklah syarikat umrah yang besar membolot semua atau jual kepada agensi umrah Indonesia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Emraz Travel & Tours Sdn Bhd, Shahrul Izuan Shafie, berkata kegiatan bolot tiket oleh agensi umrah tempatan, orang perseorangan atau syarikat bukan pelancongan yang mempunyai dana besar semakin melampau dan perlu dibanteras.
“Kebanyakan agensi umrah yang kecil terperangkap dalam ‘game’ ini. Sebelum ini harga minimum yang mereka letak sekitar RM300 ke atas tetapi harga terus naik. Bayangkan tiket penerbangan dari KLIA ke Jeddah asalnya hanya sekitar RM3,200 hingga RM3,800 tetapi kini dijual RM5,000 ke atas.
“Inilah punca banyak agensi umrah tidak dapat menyediakan tiket penerbangan… diborong oleh ulat tiket ini,” katanya yang turut mengakui ada tiket yang dijual secara terus kepada agensi umrah di Indonesia.
“Boleh lihat sendiri situasi di KLIA, hampir setiap hari ada sahaja jemaah umrah Indonesia berkumpul untuk menanti penerbangan ke Jeddah dengan menaiki pesawat dari Malaysia.
Di Kuching, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing belum menerima maklumat lanjut berhubung kegiatan agensi umrah membolot tiket penerbangan.
King Sing berkata, beliau akan mendapatkan butiran lanjut kerana setakat ini tidak menerima laporan mengenainya.