BTS Media

Kamera badan untuk polis harga antara RM2,000 – RM2,500 seunit

Oleh Zainal AS Rashid

SETIAP set daripada sejumlah 7,648 kamera badan yang akan dipasang pada anggota polis dianggarkan berharga antara RM2,000 dan RM2,500, Dewan Rakyat diberitahu.

Menurut Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, RM30 juta diperuntukkan untuk pembelian Body Worn Camera (BWC) yang akan digunakan oleh anggota polis  bertugas di 157 ibu pejabat polis daerah di seluruh negara.

Beliau berkata, BWC akan digunakan oleh anggota polis di lapangan, khususnya unit kereta peronda polis dan unit peronda motosikal polis, serta rondaan jalan raya oleh polis di 157 ibu pejabat polis daerah seluruh negara.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Selasa (21 Feb) beliau berkata 7,648 BWC dirancang untuk dibeli pada anggaran harga antara RM2,000 hingga RM2,500 seunit.”

Bagaimanapun, Saifuddin tidak menyatakan tarikh dasar baharu itu akan dilaksanakan.

Peruntukan RM30 juta telah diluluskan pada 2021 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

Saifuddin juga berkata Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis  (IPCC) akan dikuatkuasakan mulai 1 Julai ini.

“Buat masa ini, kementerian sedang menunggu kelulusan jawatan dan peruntukan daripada agensi pusat untuk penubuhan suruhanjaya ini,” kata Saifuddin.

Akta IPCC yang telah diluluskan di Dewan Rakyat pada Julai tahun lepas akan menyaksikan penubuhan suruhanjaya bebas untuk memantau integriti pasukan polis dan menyiasat aduan salah laku yang melibatkan anggota polis.

Saifuddin menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang bertanyakan mengenai penubuhan IPCC dan kamera badan yang akan dipasang pada anggota polis.

-BTS Media

Leave a Comment