GAMBAR: DBKL.
Oleh Fetty Rara
KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan sedang berbincang dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan unit penyiasatan polis trafik Kuala Lumpur tentang kemungkinan menggunakan 5,000 kamera trafik untuk mengeluarkan denda terhadap pemandu yang melanggar peraturan jalan raya.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Jalaludin Alias berkata perkara ini akan dibincangkan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur Mahadi Che Ngah.
Beliau berkata perkara tersebut akan juga dibincangkan dengan polis trafik KL, bahagian perundangan kementerian, dan pejabat Peguam Negara untuk menyemak sama ada saman boleh dikenakan berdasarkan bukti imej kamera.
Jalaluddin berkata kamera yang digunakan mampu merakam imej masa nyata (real time) dengan tepat, justeru diharap boleh digunakan sebagai bukti kesalahan.
Beliau percaya pendekatan ini akan dapat mendidik mereka yang melanggar peraturan jalan raya secara berterusan dan membantu mengurangkan kesesakan.
Jalaludin berkata kamera itu mempunyai ciri-ciri untuk merakam kesalahan parkir di garisan kuning, di lorong bas, termasuk penjaja yang beroperasi di kawasan yang tidak dibenarkan.
Beliau memberitahu media demikian di Jalan Istana pagi tadi (Rabu 6 Jul) selepas melihat operasi trafik bersepadu terhadap kenderaan berat melebihi 7.5 tan yang dilarang memasuki pusat bandar raya dari pukul 6.30 pagi hingga 9.30 pagi, dan dari 4.30 petang hingga 7.30 petang.
-BTS Media