BTS Media

Tiga maut, 213 cedera, dalam gempa bumi 6.4 dan 5.8 magnitud gegar wilayah selatan Turkiye

GEMPA bumi berukuran 6.4 magnitud dan gempa kedua berukuran 5.8 yang melanda wilayah Hatay di selatan Turki awal hari ini, mencemaskan lagi saki baki penduduk yang masih tinggal di wilayah yang musnah akibat dua gempa bumi dua minggu lalu.

Menteri Dalam Negeri Turki, Süleyman Soylu, berkata setakat ini sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan 213 cedera akibat gempa terbaharu itu, selepas sebuah hospital kerajaan di bandar İskenderun, utara wilayah Hatay mengumumkan pemindahan pesakit, lapor akhbar The Guardian.

Gempa itu turut dirasai di negara jiran Syria, di mana badan Pemerhati Hak Asasi Manusia (OHR) Syria melaporkan lebih daripada 500 cedera di bahagian barat laut.

Seorang dilaporkan maut di bandar Samandag di Hatay oleh Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turki AFAD. Penduduk berkata lebih banyak bangunan runtuh, tetapi mereka telah melarikan diri selepas gempa awal.

Gempa terbaharu hari ini, kurang sedikit kekuatan daripada gempa bumi 7.8 dan 7.5 magnitud yang memusnahkan sebahagian besar selatan Turki dan utara Syria pada 6 Februari, menambahkan lagi kesengsaraan di wilayah berkenaan.

-BTS Media

Leave a Comment