SAYA menyambut baik respon YAB Perdana Menteri yang bersetuju dengan saranan saya supaya PKR dan DAP mendedahkan kepada umum penyata akaun parti masing-masing seperti yang dilaporkan oleh akhbar Sinar Harian.
Perlu didedahkan juga ialah akaun amanah (trustee account) kedua-dua parti ini jika ada.
Selain itu, SPRM juga wajar menyiasat dari mana PKR dan DAP mendapat sumber dana untuk membiayai PRU 15. Jika diperhatikan kedua-dua parti ini berbelanja besar.
Lihat sahaja jumlah bendera, poster, pentas ceramah, lori bergerak, sistem audio, iklan, billboard besar dan kecil, kempen di media sosial dan lain-lain. Ini tidak termasuk bayaran sewa jet dan helikopter untuk kegunaan Dato’ Seri Anwar sendiri ketika berkempen. Juga kos-kos lain yang melibatkan kerja-kerja jentera parti.
Berdasarkan pengamatan kasar saya, jumlah pembiayaan kempen pilihan raya PKR dan DAP mencecah ratusan juta ringgit. Dari mana sumber ini diperoleh?
PKR dan DAP adalah kerajaan di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. Adakah PKR dan DAP tidak menerima sebarang sumbangan daripada mana-mana ahli perniagaan atau tauke-tauke yang berurusan dengan ketiga-tiga kerajaan negeri ini? Saya tanya saja bukan tuduh.
Saya sebutkan begini kerana SPRM telah memulakan siasatan terhadap BERSATU dan sedang mengenal pasti sumber dana pilihan raya BERSATU. Tidak adil jika BERSATU sahaja disiasat kerana dituduh berbelanja besar. PKR dan DAP juga berbelanja besar.
Oh ya. Elok siasat juga dana pilihanraya BN. Ingat, Menteri-Menteri BN juga ada dalam kerajaan PN dan Perdana Menteri selepas PN juga dari BN. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Barulah adil.
Saya percaya YAB Perdana Menteri seorang yang adil dan sentiasa berpegang teguh kepada prinsip keadilan. Jadi biarlah adil dalam bertindak.
Datuk Dr Marzuki Mohamad
Mantan Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Kelapan Tan Sri Muhyiddin Yassin