BTS Media

Bila dekat PRU, yang nak jadi PM bantai DAP, PKR, tapi dasar ekonomi tak dijelaskan

PIHAK yang ingin menjadi perdana menteri tidak dapat menyampaikan bagaimana mereka akan mengawal kenaikan kos barangan, sebaliknya terpaksa menggunakan naratif palsu dan menyebarkan ketakutan, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

“Apa mesej mereka? Bolehkah mereka terangkan dasar ekonomi? Tidak. Bagaimana (mereka akan) bawa perubahan yang boleh mengawal harga barangan? Tiada (cara).

“Mereka hanya boleh bercakap mengenai DAP, PKR, Israel, orang Yahudi, dan bagaimana orang Cina kawal semua. Itu sahaja dapat mereka sampaikan di kampung-kampung, dan segelintir orang percaya,” katanya pada satu acara Pakatan Harapan (PH) di Pahang malam tadi.

Beliau berkata, sesiapa yang menjadi perdana menteri mesti berupaya mengingatkan semula bahawa Malaysia berpotensi untuk menjadi “ekonomi harimau Asia”.

Anwar juga mengalu-alukan debat dalam kalangan “calon perdana menteri”.

“Mari kita berdebat. (Kita) debat tentang dasar ekonomi, kestabilan politik, apa sahaja topik, supaya rakyat dapat nilai,” katanya.

Beliau berkata, terdapat tiga calon berpotensi menjadi perdana menteri, “Ismail Sabri (Yaakob), Muhyiddin Yassin dan saya”. Bagaimanapun, beliau tidak pasti sama ada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi akan termasuk dalam senarai itu.

Mengenai dakwaan bahawa beliau tidak sesuai menjadi calon perdana menteri selepas menerima pengampunan diraja, Anwar menegaskan bahawa beliau “tidak pernah memohon” pengampunan itu.

“Saya bukan Najib,” katanya, merujuk kepada petisyen yang dilaporkan dibuat Najib Razak untuk mendapatkan pengampunan diraja.

“Hari kami (PH) menang, malam itu Yang di-Pertuan Agong hubungi saya untuk beritahu, baginda akan guna kuasanya untuk dapatkan pengampunan (diraja) bagi saya, kerana yakin apa yang saya lalui tidak adil.”

Pada April 1999, Anwar dijatuhi hukuman penjara enam tahun atas tuduhan rasuah, dan pada Ogos 2000, dijatuhkan hukuman penjara sembilan tahun kerana kesalahan liwat.

Pada 2004, beliau dibebaskan selepas sabitan liwatnya dibatalkan, tetapi pembebasannya dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada Mac 2014.

Beliau kemudian menerima pengampunan diraja dan dibebaskan sekali lagi pada 2018.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/10/20/mereka-yang-nak-jadi-pm-hanya-mampu-guna-naratif-palsu-kata-anwar/

Leave a Comment