GAMBAR: APM Negeri Johor.
Oleh Yusoff A. Shariff
BANJIR di Johor yang semakin buruk kini menyaksikan jumlah mangsa banjir melonjak kepada 3,612 daripada 1,014 keluarga yang ditempatkan di 35 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah, setakat pukul 8 pagi Rabu (25 Jan).
Setakat tengah malam tadi, seramai 2,912 mangsa daripada 833 keluarga dicatatkan berada di 30 PPS di empat daerah.
Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Azmi Rohani, daerah Segamat paling terjejas apabila jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,392 individu daripada 393 keluarga di 13 PPS pada pagi ini.
Beliau, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata jumlah ini berbanding seramai 1,229 individu daripada 345 keluarga di lapan PPS, malam tadi.
“Hujan berterusan sejak kelmarin menyebabkan PPS di negeri ini melonjak kepada 35. Amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya di Johor hari ini juga dibimbangi akan menyebabkan lebih banyak kawasan rendah terjejas dinaiki air.
“Hujan lebat berterusan menyebabkan Mersing dan Batu Pahat kini menjadi daerah keempat dan kelima turut terjejas banjir dengan masing-masing membuka empat dan satu PPS sejak malam tadi.
“Mangsa banjir mengikut pecahan mangsa teramai adalah Segamat (1,392 mangsa), Kluang (1,139), Kota Tinggi (557), Mersing (403) dan Batu Pahat (121),” katanya dalam kenyataan pagi ini.
Beliau menasihatkan penduduk di kawasan rendah dan berhampiran sungai sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa dan mematuhi arahan berpindah jika ia dikeluarkan.
Azmi berkata empat laluan utama telah ditutup kepada semua kenderaan, kerana dinaiki air bah, selain berlaku tanah runtuh akibat hujan berterusan.
“Tanah runtuh berlaku di kawasan Kulai membabitkan Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau (J08) berikutan tebing bercerun laluan itu runtuh, menyebabkan ia terpaksa ditutup kepada semua jenis kenderaan.
“Selain itu dua laluan utama ke Segamat juga terus ditutup kepada semua jenis kenderaan kerana dinaiki air membabitkan Jalan Senai-Gemas (FT001) yang ditenggelami banjir sedalam 0.7 meter, manakala Jalan Jabi-Bukit Tempurung (J516) dinaiki air sedalam 0.6 meter.
“Laluan Jalan Ladang Siang (J 223) di Kota Tinggi juga masih ditutup berikutan dinaiki air bah sedalam 0.75 meter,” katanya.
Azmi berkata, tiga sungai masing-masing dua di Segamat dan satu di Kluang juga berada pada paras bahaya pagi ini.
“Di Segamat ia membabitkan lembangan Sungai Gemas yang berada pada paras bahaya dengan 19.13 meter selain Sungai Segamat pula merekodkan paras bahaya 37.55 meter.
“Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang turut mencatat paras bahaya dengan 15.70 meter pagi ini,” katanya.
-BTS Media