GAMBAR ATAS: Melancholia i at en.wikipedia, Public domain, via Wikimedia Commons
GERAKAN Pembela Ummah (UMMAH) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim campur tangan dan mengkaji semula tindakan serta keputusan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) membawa masuk pakar daripada Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) untuk berkongsi kepakaran dan berkongsi pengalaman berhubung isu perumahan.
Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata, ini kerana soal kedaulatan dan keselamatan negara perlu diambil kira dalam sebarang keputusan yang dibuat oleh kerajaan.
“Kita membantah sekeras-kerasnya tindakan dan keputusan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang akan membawa masuk pakar daripada Singapura HDB bagi membantu menyelesaikan isu berkaitan perumahan di negara ini.
“Tindakan ini akan mendedahkan segala maklumat penting kerajaan Malaysia berkaitan strategi dan hala tuju pembangunan perumahan di negara ini,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini media melaporkan Malaysia akan membawa masuk pakar daripada agensi perumahan Singapura, HDB untuk menambah baik sektor perumahan di negara ini.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kerajaan Singapura bersetuju menghantar beberapa pakar HDB bulan depan untuk berkongsi kepakaran dengan Malaysia.
Mohd Zai mendakwa seperti dimaklumkan bahawa Singapura telah berjaya meminggirkan pemilikan rumah kepada orang Melayu di Singapura dengan menyediakan rumah dengan harga yang tinggi dan berada di luar kemampuan.
“Ramai orang Melayu di Singapura terpaksa membeli rumah di Johor kerana tidak mampu. Apakah ini yang akan dibawa dan dilaksanakan di Malaysia?,” soalnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pemilikan rumah di kawasan bandar besar di negara ini juga gagal dimiliki orang Melayu dan Bumiputera kerana harga yang mahal walaupun diwujudkan kuota 30 peratus namun tetap gagal dijual.
Justeru, beliau berkata, KPKT sewajarnya menumpukan usaha dan strategi perumahan negara ke arah harga rumah yang sederhana dan mampu milik.
“Ini berdasarkan kepada pendapatan golongan B40 dan M40 dan juga melibatkan golongan muda serta belia.
“Isu-isu yang terkait dengan projek terbengkalai atau ‘sakit’ harus diuruskan secara profesional berdasarkan merit pihak terlibat seperti perunding bertauliah dan profesional serta pemaju yang mempunyai kemampuan kewangan kukuh bukan berdasarkan kroni,” jelas beliau.