BTS Media

Dakwaan wujud Langkah St Regis karut, direka Ahmad Zahid, Tok Mat – Sumber MCA

MCA mendakwa ‘Langkah St Regis’ adalah hanya cerita rekaan presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya, Mohamad Hasan bagi menyelamatkan maruah selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Satu sumber dalaman MCA berkata tuduhan pengkhianatan oleh 10 ahli Parlimen BN yang dikaitkan dengan Langkah St Regis kononnya bagi menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri sewaktu Parlimen tergantung, adalah usaha bagi menutup kelemahan Ahmad Zahid mengatur strategi pilihan raya.

Menurut sumber itu, MCA tidak pernah mengkhianati BN, malah sentiasa bersama gabungan itu ketika susah mahu pun senang, termasuk semasa  mereka tewas pada dua PRU berturut-turut.

“Malah, pemimpin MCA tidak pernah gagal menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) termasuk hari ini (Jumaat).

“Bagaimanapun, kami kecewa dengan ucapan (dasar) Presiden UMNO sebentar tadi. Apa guna jemput kami jika sekadar dilayan sedemikian.

“Bagi MCA, dakwaan wujud Langkah St Regis hanya mengarut dan direka beliau (Ahmad Zahid) dan Mohamad. Kami tidak mahu masuk campur,” kata sumber terdekat parti itu kepada Sinar Harian semalam.

Sumber itu mengulas, ‘pendedahan’ oleh Ahmad Zahid mengenai kewujudan Langkah St Regis yang kononnya diatur oleh beberapa ahli Parlimen UMNO bersama pemimpin PN, sehari sebelum pembentukan Kerajaan Perpaduan dimuktamadkan.

Ahmad Zahid mendakwa bahawa Langkah St Regis bukan hanya bertujuan menggagalkan pembentukan Kerajaan Perpaduan, tetapi juga satu gerakan untuk menyingkirkan beliau daripada jawatan Pengerusi BN.

Dakwaan Ahmad Zahid berkaitan Langkah St Regis dianggap oleh sumber itu sebagai mengarut kerana tiada ahli Parlimen daripada MCA berada Hotel St Regis, Kuala Lumpur pada tarikh tersebut.

Turut dipertikaikan tujuan sebenar Mohamad melabelkan 10 ahli parlimen BN, termasuk dari MCA yang menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong Muhyiddin menjadi perdana menteri selepasPRU15 , sebagai pengkhianat

Tambah sumber itu, Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN sendiri pernah mengadakan pertemuan sulit dengan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin di rumahnya selepas keputusan PRU15 diumumkan.

“Apa motif Tok Mat pergi ke rumah Hamzah selepas keputusan PRU15 diumumkan, sedangkan beliau merupakan Timbalan Pengerusi dan Pengarah Pilihan Raya BN yang turut bertanggungjawab mengumpul tandatangan SD menyokong Anwar menjadi Perdana Menteri?” soalnya.

Sumber MCA itu juga mendedahkan terdapat lebih 10 ahli Parlimen BN menandatangani SD menyokong Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, namun ada dalam kalangan mereka tidak menghantar dokumen tersebut.

“Saya malas nak cerita secara mendalam kerana mahu menjaga imej BN. Biarlah (Ahmad) Zahid dan Mohamad nak cakap apa pun kerana Tuhan lebih mengetahui segalanya.

“Kalau dalam dewan tadi mereka boleh cakap wabillahi, watallahi tetapi kemudian keluar kenyataan berlainan, apa saya boleh buat.

“Paling penting, saya ingin tegaskan MCA kekal setia bersama BN,” kata sumber itu yang merupakan pemimpin kanan parti berkenaan.

Sementara itu, seorang pemimpin kanan MIC ketika dihubungi menafikan dakwaan Ahmad Zahid, konon hanya Timbalan Presiden parti, Datuk Seri M Saravanan menjadi pengkhianat kerana menolak menyertai kerajaan dipimpin Anwar.

“MIC membuat ketetapan tidak menyokong mana-mana pihak sama ada PN atau PH. Itu sahaja,” kata pemimpin berkenaan.

Baca lagi: https://premium.sinarharian.com.my/article/226184/fokus/semasa/langkah-st-regis-hanya-rekaan

Leave a Comment