Oleh Zainal AS Rashid
KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menambah dua perkhidmatan tren elektrik (ETS) bagi laluan KL Sentral ke Padang Besar, dan sebaliknya sempena sambutan Tahun Baharu Cina ini.
Dalam satu kenyataan pada Ahad (8 Jan), KTMB mengumumkan bahawa penjualan tiket akan dibuka mulai esok (9 Jan) untuk perjalanan tambahan dari 19 hingga 24 Jan.
Tren tambahan ETS akan berlepas pada pukul 5.05 petang dari KL Sentral dan tiba di Padang Besar pada pukul 10.34 malam, manakala tren dari Padang Besar akan berlepas pada pukul 11.00 pagi dan tiba di KL Sentral pada pukul 4.36 petang.
Menurut KTMB, sebanyak 630 tiket ditawarkan setiap hari bagi tren tambahan ini; justeru menjadikan jumlah 3,780 tiket, termasuk koc kelas bisnes.
Ia juga berkata bahawa inisiatif ini adalah untuk memenuhi permintaan tinggi penumpang semasa musim perayaan, dan menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam untuk pulang ke rumah dengan selesa dan selamat.
“Orang ramai digalakkan membeli tiket melalui aplikasi KTM (KITS) atau melalui laman web KTMB https:ktmb.com.my bagi memudahkan urusan tanpa tunai.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-2267 1200 atau layari saluran media rasmi KTMB, serta laman web KTMB https:ktmb.com.my.
-BTS Media