BTS Media

Pas MyRailLife KTMB untuk pelajar, OKU dilancarkan

Oleh Zainal AS Rashid

PAS perjalanan tanpa had untuk orang kelainan upaya (OKU) dan pelajar sekolah menikmati perjalanan tren percuma Keretapi Tanah Melayu (KTMB) telah dilancarkan.

Pas MyRailLife adalah inisiatif KTMB dan Kementerian Pengangkutan yang menawarkan perjalanan tren percuma untuk semua OKU berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta pelajar sekolah dari Darjah 1 hingga Tingkatan 6 berumur tujuh hingga 19 tahun.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pas MyRailLife, yang mula dilaksanakan pada Rabu (15 Feb), membolehkan penjimatan kos untuk komuniti orang kurang upaya dan kanak-kanak bersekolah.

Sebagai contoh, Loke memberi contoh seorang OKU yang tinggal di Alor Setar dan bekerja di Butterworth kini boleh menjimatkan RM180 sebulan dengan menggunakan pas MyRailLife.

“Sekiranya dia menggunakan perkhidmatan tren untuk perjalanan pergi dan balik antara stesen Alor Setar ke Butterworth, dia akan membelanjakan tambang perjalanan RM7.20 sehari, ia itu RM180 sebulan untuk kos pengangkutan.

“Dengan adanya MyRailLife Pass ini, penjimatan kos pengangkutan adalah sebanyak RM180 sebulan. Pas ini juga tidak terhad,” katanya semasa pelancaran di KL Sentral pada Khamis (16 Feb).

MyRailLine adalah lanjutan daripada inisiatif yang pertama kali diumumkan oleh Loke pada 20 Jan, di mana beliau berkata murid beruniform sekolah dan OKU akan dapat menikmati perjalanan kereta api KTMB percuma mulai 15 Feb.

MyRailLife ialah pas percuma dan tanpa had yang boleh digunakan untuk Perkhidmatan KTM Komuter di Lembah Klang, sektor utara dan pantai timur.

Sektor KTM Komuter Lembah Klang adalah untuk perjalanan pergi dan balik antara Pulau Sebang ke Batu Caves serta Pelabuhan Klang ke Tanjung Malim.

Sementara itu, bagi sektor utara, pas tersebut sesuai untuk perjalanan pergi dan balik antara Padang Rengas ke Butterworth serta Butterworth ke Padang Besar.

Perkhidmatan KTM Shuttle Timuran bagi sektor pantai timur adalah untuk perjalanan pergi dan balik antara Gemas dan Tumpat.

Tambah Loke, pas itu diharap bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar sekolah dan masyarakat OKU, malah meringankan beban kewangan ibu bapa yang membayar kos pengangkutan anak mereka.

“Saya juga difahamkan bagi sesetengah masyarakat, perkhidmatan KTMB bukan sekadar pengangkutan semata-mata tetapi merupakan wadah penting untuk anak-anak mencari ilmu.

“Sebagai contoh, di Kelantan, lebih 100 pelajar di Kuala Geris bergantung kepada perkhidmatan KTM Shuttle Timuran untuk ke sekolah di Dabong,” katanya lagi.

Loke berkata pengguna yang layak boleh mendaftar secara dalam talian melalui aplikasi mudah alih KITS KTMB, laman web KTMB atau di kaunter KTMB berhampiran.

KTMB juga menyediakan 10,000 kad Komuter Link percuma untuk pengguna baharu dan pemegang kad MyRail5, yang sebelum ini untuk pengguna kurang upaya dan pelajar di Lembah Klang.

Loke menambah bahawa inisiatif MyRailLine bernilai RM4 juta dan dibiayai melalui penjimatan kos perkhidmatan KTM Komuter Subang Skypark antara KL Sentral dan Subang Skypark, yang digantung bermula Rabu (15 Feb) kerana jumlah penumpang yang rendah.

Beliau berkata, susulan penggantungan itu, sekarang terdapat empat set tambahan tren tiga gerabak Electric Multiple Unit (EMU) yang sebelum ini digunakan untuk operasi Skypark Link.

Loke berkata satu set akan digunakan untuk perkhidmatan KTM Komuter di Lembah Klang, manakala baki tiga set akan digunakan untuk operasi KTM Komuter sektor utara bagi laluan Padang Besar ke Butterworth dan Padang Rengas ke Butterworth.

Oleh itu, mulai Sabtu (18 Feb), akan terdapat peningkatan kekerapan perkhidmatan laluan Padang Besar ke Butterworth daripada setiap 60 minit kepada setiap 20 minit pada waktu puncak pagi.

Terdapat juga peningkatan daripada setiap 60 minit kepada setiap 30 minit pada waktu puncak petang.

Bagi laluan Butterworth ke Padang Besar, kekerapan tren telah ditambah kepada setiap 30 minit pada waktu sibuk pagi dan petang.

Manakala bagi perjalanan pergi dan balik antara Padang Rengas ke Butterworth, kekerapan tren akan ditingkatkan daripada setiap 180 minit kepada 120 minit.

KTMB berkata inisiatif itu mampu untuk meningkatkan jumlah perjalanan pergi balik harian antara Padang Besar dan Butterworth kepada 36 daripada 26 dan 16 daripada 12 sebelum ini antara Padang Rengas dan Butterworth.

Penambahbaikan itu dijangka memenuhi permintaan peningkatan jumlah penumpang yang menggunakan laluan sektor utara untuk perjalanan ulang-alik harian antara Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak bagi aktiviti kerja atau riadah.

MYRL_FAQ-MAIN

-BTS Media

Leave a Comment